KUALA LUMPUR: Momentum pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka mereda memasuki Separuh Kedua 2024 (2H 2024), kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Namun begitu, susulan prestasi lebih baik daripada jangkaan pada Separuh Pertama 2024, permintaan domestik yang berdaya tahan dan pengembangan berterusan sektor utama, Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2024 pada 4.5 peratus hingga 5.0 peratus.

"Bagi 2025, kami mengunjurkan pengembangan sebanyak 4.9 peratus, susulan jangkaan ekonomi akan kembali normal dan meneruskan pengembangan yang kukuh," kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan, pada Isnin.

Kenanga IB berkata, inflasi diunjur meningkat kepada 2.6 peratus pada Separuh Kedua 2024 berikutan peningkatan perbelanjaan pengguna, pelepasan kos diesel, perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dan krisis geopolitik.

"Susulan penangguhan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 kepada kemungkinan Separuh Kedua 2025, kami menyemak semula unjuran inflasi 2024 kepada 2.2 peratus, turun daripada 2.7 peratus sebelumnya," katanya.

Kenanga IB berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sepanjang tahun ini dan kemungkinan meneruskan aliran ini sehingga 2025.

Bank itu berkata, pendekatan ini bertujuan untuk menangani tekanan inflasi daripada kesan rasionalisasi subsidi sambil menyokong pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah pembaharuan fiskal yang berterusan.

"Ringgit, selepas mencatatkan penurunan berpanjangan, dijangka terus mengukuh apabila indeks dolar AS (DXY) dijangka menurun pada suku keempat 2024, dipacu oleh jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada September

"Dengan penyatuan fiskal, kadar dasar BNM yang stabil dan prospek pertumbuhan yang kukuh, ringgit mungkin mengukuh kepada 4.42 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024," katanya.

Kenanga IB berkata, permintaan terhadap bon Malaysia dijangka kekal kukuh sepanjang tahun, disokong oleh jangkaan penurunan kadar Fed, nilai ringgit yang rendah dan OPR yang stabil.

"Pemacu utama termasuk rangka kerja MADANI, peningkatan pelaburan langsung asing, dasar pelaburan yang menggalakkan, dan kerjasama ekonomi yang diperbaharui dengan China," katanya.

Kenanga IB berkata, terbitan bon di Malaysia diunjurkan berkurangan kepada RM175.0 bilion-RM180.0 bilion pada 2024 daripada RM190.9 bilion tahun lepas berikutan defisit fiskal yang lebih rendah dan keperluan pembiayaan semula yang berkurangan.

"Kami mengunjurkan defisit fiskal mengecil kepada 4.6 peratus daripada KDNK. Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun diunjur beradar sekitar 3.70 peratus dalam tempoh terdekat, mencecah 3.56 peratus menjelang akhir tahun, disokong oleh permintaan bon tempatan yang kukuh dan penawaran rendah," kata bank itu. - BERNAMA