KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup lebih baik hari ini, didorong oleh data ekonomi yang menggalakkan di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pasaran tempatan turut dipacu oleh belian kukuh dalam sektor tenaga, penjagaan kesihatan dan produk perindustrian, katanya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, mengatasi unjuran sebanyak 5.8 peratus, disokong oleh daya tahan perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang cergas dan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancongan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.68 peratus atau 10.96 mata kepada 1,623.90 daripada 1,612.94 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka lebih tinggi pada 9.26 mata kepada 1,622.20 dan bergerak antara 1,617.18 dan 1,624.71 sepanjang sesi dagangan.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi rugi, 802 daripada 324, dengan 451 kaunter tidak berubah, 909 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan bagaimanapun turun kepada 3.22 bilion bernilai RM2.75 bilion daripada 3.54 bilion unit bernilai RM2.76 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan memberitahu Bernama bahawa produk perindustrian dan stok pembuatan adalah yang berprestasi terbaik dalam FBM KLCI.

Ia mencerminkan data KDNK positif serta menunjukkan peningkatan perbelanjaan sektor swasta dan eksport bersih yang bertambah baik.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour hari ini berkata bank pusat itu berpandangan pertumbuhan Malaysia berada di landasan untuk mengakhiri tahun ini dengan julat jangkaan 4.0-5.0 peratus.

Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini kepada purata 5.05 peratus. KDNK meningkat sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

"Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9 peratus itu adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022," kata Abdul Rasheed pada sidang akhbar.

Sementara itu, Mohd Sedek berkata kenaikan FBM KLCI juga dicetuskan oleh penurunan kebimbangan terhadap kemelesetan di AS dan jangkaan pendirian yang lebih akomodatif Rizab Persekutuan (Fed).

"Trend menaik dalam pasaran hari ini mencerminkan prestasi positif pasaran serantau dan Wall Street. Kenaikan ini telah mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap potensi kemelesetan.

"Sentimen pelabur, yang dilihat lebih berhati-hati minggu lepas, telah bertambah baik. Pasaran telah mencapai pemulihan yang kukuh, dan memperoleh semula tahap sokongan teknikal yang penting," katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama juga ditutup lebih tinggi, menjejaki peningkatan kukuh di Wall Street semalaman susulan data ekonomi AS yang kukuh mengurangkan kebimbangan terhadap kemelesetan.

Rantau Asia juga merasakan kesan limpahan rangsangan daripada Bank Rakyat China, kata Thong.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Maybank meningkat 8.0 sen kepada RM10.26, Public Bank dan Tenaga masing-masing naik 2.0 sen kepada RM4.29 dan RM13.86, CIMB meningkat 13.0 sen kepada RM7.66, dan IHH tidak berubah pada RM6.30.

Bagi kaunter paling aktif, Cape EMS susut 1.0 sen kepada 42 sen, SP Setia naik 1.0 sen kepada RM1.30, Pestech meningkat 3.0 sen kepada 20 sen, dan Hextar Healthcare tidak berubah pada 24 sen.

Antara kaunter paling untung, Dutch Lady melonjak RM1.24 kepada RM31.84, Petronas Chemicals melonjak 33.0 sen kepada RM5.63 dan Panasonic Manufacturing meningkat 30.0 sen kepada RM19.96.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 95.47 mata kepada 12,335.13, Indeks FBMT 100 menokok 88.41 mata kepada 11,976.09 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 90.32 mata kepada 12,402.04.

Indeks FBM 70 melonjak 159.80 mata kepada 17,843.65, dan Indeks FBM ACE menokok 86.91 mata kepada 5,398.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 131.66 mata kepada 18,419.72, Indeks Perladangan menokok 41.61 mata kepada 7,184.00, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.17 mata kepada 183.79, dan Indeks Tenaga meningkat 23.58 mata kepada 952.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.80 bilion unit bernilai RM2.477 bilion daripada 1.98 bilion unit bernilai RM2.474 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 949.16 juta unit bernilai RM116.02 juta daripada 1.13 bilion unit bernilai RM139.95 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 467.90 juta saham bernilai RM163.26 juta daripada 428.06 juta saham bernilai RM154.42 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 185.05 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (435.02 juta), pembinaan (120.35 juta), teknologi (193.92 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (85.85 juta), hartanah (335.68 juta), perladangan (10.32 juta), REIT (7.18 juta), dana tertutup (25,000), tenaga (138.23 juta), penjagaan kesihatan (146.81 juta), telekomunikasi dan media (26.68 juta), pengangkutan dan logistik (58.82 juta), utiliti (60.31 juta) dan amanah perniagaan (214,200).

-- BERNAMA