KUALA LUMPUR: Perkembangan mantap ekonomi Malaysia pada 5.9 peratus semasa suku kedua 2024 telah memacu pengukuhan ringgit berbanding dolar US hari ini.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4295/4350 berbanding dolar US daripada 4.4350/4405 ketika ditutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit disokong baik selepas pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2024 hari ini, yang mana aktiviti ekonomi Malaysia menokok lebih daripada jangkaan.

"Bagaimanapun, kenaikan nilai ringgit adalah agak tinggi dan boleh membawa kepada senario biasa iaitu aktiviti pengambilan untung selain mungkin sebenarnya lebih baik memandangkan kadar pertukaran akan mencerminkan keadaan ekonomi semasa," katanya kepada Bernama.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata mata wang tempatan itu mula meningkat sejak akhir-akhir ini selepas peserta pasaran kewangan menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengurangkan kadar dasarnya, ini menyebabkan dolar US terus melemah dan mengurangkan tekanan ke atas banyak mata wang serantau termasuk ringgit.

Dengan perkembangan terkini, ringgit telah menambah nilai sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar US dari tahun ke tarikh terkini setakat 13 Ogos 2024.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 2.9792/9833 daripada 3.0092/0132 dan melonjak berbanding euro kepada 4.8680/8741 daripada 4.8838/8899 tetapi menyusut berbanding pound British kepada kepada 5.7167/7238 daripada 5.7007/7078.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3582/3627 daripada 3.3657/3699 serta lebih tinggi berbanding peso Filipina pada 7.74/7.75 daripada 7.79/7.80 sebelum ini.

Ia juga lebih mantap berbanding rupiah Indonesia kepada 282.2/282.7 daripada 282.5/282.9 semalam dan adalah lebih baik berbanding baht Thailand kepada 12.6445/6656 daripada 12.6805/7013.

-- BERNAMA