Bagaimanapun, Pengasas Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib berpendapat, isu itu mungkin menjadi lebih kritikal selepas pelarasan premium secara pengagihan berakhir pada penghujung 2026.
“Isu atau permasalahan inflasi kesihatan ini tidak terhenti, maksudnya kita tutup mata sahaja untuk tiga tahun tapi selepas itu, ia akan membabitkan peningkatan mendadak disebabkan kita 'bekukan' sekarang.
“Maka, masalah ini tidak selesai. Kita perlu melihat dengan lebih serius bagaimana untuk mengatasi isu ini, kita perlu libatkan elemen politik juga,” katanya.
Beliau yang mengulas dalam Fokus Minggu Depan pada Sabtu menyarankan agar satu pindaan atau penggubalan undang-undang berkaitan isu itu harus dilakukan secara komprehensif supaya tiada pihak ditindas.
Azrul turut menyifatkan langkah diumumkan BNM mungkin memberi keuntungan kepada segelintir pihak kecil terutama pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas, namun mungkin kurang adil bagi peringkat umur lebih muda yang melonjak naik usianya.
“Bab itu bagus, perlu disokong tapi masalahnya sekarang bagaimana mereka yang luar daripada umur berkenaan dinaikkan.
“Harga premium itu mungkin akan naik sebab peningkatan umur, jadi itu satu soalan kerana rasanya mereka ini dalam kalangan 20 peratus, yang mungkin kenaikannya tidak 10 peratus, mungkin lebih daripada itu,” ujarnya.
Semalam, BNM mengumumkan bahawa semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans serta takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) diminta berbuat demikian sekurang-kurangnya tiga tahun berkuat kuasa hingga akhir 2026.
Menerusi langkah ini, sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus.