PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) masih berunding dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan kenaikan kadar premium insurans perubatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Setakat ini, proses masih dirunding semula," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14 di sini hari ini.

Sebelum ini, bank pusat menggesa penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) supaya menyemak semula strategi penentuan harga bagi memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Menurut BNM, langkah ini termasuk menguruskan kenaikan premium dan sumbangan secara berterusan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi serta peserta takaful.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa premium insurans perubatan dijangka meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus tahun depan menyebabkan sebilangan pemegang polisi terpaksa mempertimbangkan untuk menamatkan polisi mereka akibat kos premium bulanan yang semakin tinggi.

- BERNAMA