BANGKOK: Kabinet baharu Thailand dijangka dimuktamadkan minggu ini, menurut Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.

Paetongtarn memberitahu media tempatan di Kolej Pertahanan Nasional pada Isnin bahawa beliau menjangka untuk memuktamadkan rundingan dengan pemimpin-pemimpin pakatan pemerintah, yang terdiri daripada partinya Pheu Thai dan 10 parti gabungan lain, mengenai pembentukan Kabinetnya minggu ini.

Paetongtarn dipetik oleh media tempatan sebagai berkata bahawa beliau tidak pernah berjanji untuk mengekalkan semua anggota Kabinet yang dilantik kerajaan Srettha Thavisin.

Beliau berkata pemimpin Pheu Thai mengadakan pertemuan pada Isnin untuk membincangkan calon menteri parti itu, dan beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota utama parti lain pada Selasa.

Sementara itu, Agensi Berita Thailand melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Sementara Phumtham Wechayachai, berkata Pheu Thai akan meminta rakan gabungan mereka untuk mengemukakan calon bagi jawatan Kabinet dalam masa terdekat, supaya kelayakan mereka dapat disemak dan bagi mengelak sebarang pergolakan politik yang lebih lanjut.

Phumtham juga dijangka mempengerusikan mesyuarat Kabinet sementara pada Selasa di Rumah Kerajaan.

Pakatan pemerintah Thailand terdiri daripada 11 parti diketuai oleh Pheu Thai. Gabungan ini merangkumi dua parti yang berkait dengan tentera iaitu Parti Palang Pracharath (PPRP) dan Parti United Thai Nation (UTN).

Gabungan ini menguasai 314 daripada 493 kerusi Parlimen, iaitu hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan.

-- BERNAMA