PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan rakan sejawatannya dari Thailand Paetongtarn Shinawatra di kompleks Seri Perdana, di sini.

Paetongtarn dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar sebaik tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.45 pagi.

Kedua-dua pemimpin itu ditemani pasangan masing-masing, Pidok Sooksawas dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Terdahulu Anwar dan Paetongtarn mengadakan pertemuan bagi mengukuhkan hubungan dua hala di bawah rangka kerja Rundingan Tahunan (AC) Malaysia-Thailand ke-tujuh.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan, kesenian dan warisan, serta pembangunan industri getah dan kerjasama ekonomi.

Lawatan Paetongtarn menyerlahkan persahabatan yang terjalin lama dan hubungan kukuh antara Malaysia dan Thailand sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Antara Januari dan Oktober 2024, perdagangan dua hala telah mencecah US$20.75 bilion (RM95.50 bilion), berbanding US$20.69 bilion (RM94.37 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

-- BERNAMA