PUTRAJAYA: Agenda mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak wajar dijadikan bahan politik perkauman sempit dan dangkal.


Ringkasan AI
  • Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun adalah langkah penting untuk menjamin kematangan demokrasi dan mengelakkan pemusatan kuasa.
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa cadangan ini selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan visi reformasi beliau.
  • Cadangan ini mendapat perhatian semula selepas dibangkitkan oleh Anthony Loke dan disokong oleh Anwar, dengan kerajaan bersedia meminda Perlembagaan untuk merealisasikannya.


Setiausaha Akhbar Kanan PM, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, peringatan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri kepada segelintir pihak yang cuba berbuat demikian, khususnya pembangkang.

Beliau berkata Perdana Menteri tegas berpandangan roh dan sifat jawatan itu sudah ‘terang lagikan bersuluh’, seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, mengehadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut, malah ia dilihat satu langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.

Perdana Menteri turut meminta mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.

“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani'. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Cadangan tersebut mula menjadi perhatian semula apabila dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sewaktu berucap di Kongres ke-18 DAP di Shah Alam, pada Ahad.

Anwar yang turut menghadiri kongres tersebut dilaporkan berkata, kerajaan sedia meminda Perlembagaan bagi membolehkan perkara itu direalisasikan, setelah ia mendapat konsensus daripada Dewan Rakyat.

Dalam pada itu Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri menyifatkan ia seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan beliau dalam gagasan 'Membangun Negara Madani' kerana ia bukan perkara baharu.

Langkah tersebut, jelasnya lagi, bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Tambah beliau lagi,  beberapa negara telahpun melaksanakan pendekatan ini seperti Indonesia.

“Selain daripada itu, langkah mengehadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara,” katanya lagi.