SEPANG: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Paetongtarn, diiringi pasangannya Pidok Sooksawas diberikan pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), yang dipimpin Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.

Pesawat khas yang membawa anak bongsu bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra, pasangannya, dan delegasi itu berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang.

Turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Thailand Bong Yik Jui.

Terdahulu, semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Paetongtarn menyatakan sokongannya terhadap peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 dan berharap Malaysia dan Thailand dapat bekerjasama untuk kesejahteraan kedua-dua negara dan ASEAN secara keseluruhan.

Paetongtarn berada di sini untuk Perundingan Tahunan (AC) ke-tujuh sempena lawatan rasmi pertamanya sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2024.

Dari segi kerjasama ekonomi, kedua-dua negara akan menumpukan usaha untuk berdagang dan melabur dalam hubungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan serta kerjasama dalam industri getah dan halal.

Malaysia dan Thailand turut berbincang keperluan menangani masalah banjir yang dihadapi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Budaya, Kesenian dan Warisan, serta Perdagangan Getah dan Kerjasama Ekonomi.

Lawatan Paetongtarn ke Malaysia mencerminkan komitmen untuk mencapai keamanan dan kemakmuran bersama untuk manfaat rakyat di kedua-dua negara.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah AS$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Antara Januari dan Oktober 2024, perdagangan dua hala telah mencecah AS$20.75 bilion (RM95.50 bilion), berbanding AS$20.69 bilion (RM94.37 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

-- BERNAMA