BANGKOK: Perdana Menteri baharu Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengarahkan penghantaran bantuan kepada penduduk di wilayah utara yang terjejas akibat banjir.

Menyuarakan keprihatinan melalui akaun rasminya di platform X, Paetongtarn berkata bahawa beliau tidak dapat menjalankan tugasnya disebabkan proses perlembagaan sebelum memegang jawatan, namun menyampaikan kebimbangannya kepada Perdana Menteri sementara, Phumtham Wechayachai bagi membantu wilayah yang terjejas.

"Saya mengarahkan penghantaran bantuan kepada rakyat sebanyak mungkin, termasuk penyaliran air dengan segera bagi mengurangkan penderitaan serta perancangan untuk pemulihan kerosakan," katanya.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Suriya Juangroongruangkit, yang juga Menteri Pengangkutan ketika ini menyedari keprihatinannya dan Jabatan Lebuhraya bersama Jabatan Lebuhraya Luar Bandar ditugaskan untuk menghantar pegawai bagi membantu, memudahkan dan memantau situasi 24 jam sehari.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana mengeluarkan amaran di empat wilayah iaitu Chiang Rai, Phayao, Phrae dan Nan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat dan pemindahan akibat hujan berterusan.

Media tempatan Thailand melaporkan bahawa banjir di Chiang Rai meragut dua nyawa dan menenggelamkan kira-kira 2,400 hektar tanah pertanian sejak minggu lalu.

-- BERNAMA