USAHA Apple untuk membangunkan modem sendiri berhadapan pelbagai cabaran bermula dengan prestasi kurang memuaskan dan kemudian berjaya disaman oleh Qualcomm kerana pelanggaran paten.

Bagi menyelesaikan kes saman, Apple bersetuju menggunakan modem keluaran Qualcomm sehingga 2027.

Menurut laporan Bloomberg, selepas usaha selama sedekad, Apple kini bersedia menggunakan modem rekaan sendiri bermula 2025.

Ia akan terlebih dahulu digunakan bukan pada model mercu. Besar kemungkinan pada iPhone SE baharu yang telah lama didengar kewujudannya tetapi dilaporkan dibatalkan pelancarannya awal tahun ini.

Ini bagi memastikan sebarang isu prestasi selular yang lemah dapat diselesaikan sebelum model iPhone mercu menggunakan model yang sama.

Ada sebab mengapa modem sendiri dibangunkan ialah mengurangkan kos kerana bayaran yang dikenakan oleh Qualcomm untuk modem keluaran mereka dan penggunaan teknologi berkaitan.

Pelan jangka pendek ialah modem kendiri yang lebih mampu milik.

Pelan jangka sederhana pula ialah menggabungkan modem dengan cip WiFi serta bluetooth kali ini untuk mengurangkan penggunaan bateri.

Akhir sekali pelan jangka panjang yang menggabungkan pula kesemua komponen tadi ke dalam sebuah SOC yang akan membolehkan lebih banyak penjimatan kuasa dan penggunaan ruang pada komponen dalam peranti. -Amanz