IPOH: Seorang kontraktor dan pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak dan mencederakan dua lelaki dan tiga wanita di sebuah rumah pada 8 Ogos lepas.

Tertuduh Ling Siaw Hock, 33, dan Alson Ik Kai Jun, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Kedua-dua lelaki itu bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan itu dengan mengambil satu unit telefon bimbit jenama Huawei, satu unit telefon jenama Vivo, satu kad pengenalan atas nama Tou Siow Lung, satu kad pengenalan Wong Swee Chon serta wang tunai RM5,000.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, kedua-dua tertuduh juga dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada lima orang mangsa di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar dalam daerah Manjung.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang, namun penguam Sandeep Singh Jit memohon jaminan minimum kerana anak guamnya Ling tidak mempunyai pendapatan tetap manakala Ik hanya pekerja kepada Ling.

Mahkamah kemudian memutuskan jaminan RM12,000 bagi Ling dan RM10,000 bagi Ik selain kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Sept depan.

-- BERNAMA