KUALA LUMPUR: Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun 2024 berikutan proses rundingan di antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Mengikut garis masa yang telah ditetapkan, kerajaan kedua-dua negara akan memuktamadkan dan memperhalusi butiran perjanjian semasa sesi bengkel yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos.

Selepas sesi bengkel tersebut, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memuktamadkan draf perjanjian pada bulan September.

Dalam satu laporan baru-baru ini oleh RHB Research yang diterbitkan selepas persidangan Invest Johor 2024, firma penyelidikan itu percaya JS-SEZ bakal membawa potensi besar untuk merangsangkan pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.

Laporan itu menegaskan bahawa kerajaan Johor telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan zon tersebut dapat berfungsi dengan baik dan menyediakan peluang pertumbuhan yang signifikan kepada kedua-dua negara.

JS-SEZ yang meliputi kawasan-kawasan strategik itu akan menarik pelaburan langsung asing yang besar, terutamanya dari sektor teknologi, kewangan dan pembuatan termaju yang mempunyai potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Antara kawasan fokus utama zon itu termasuk dua Kawasan di Johor iaitu, Kulai sebagai pusat bagi logistik, ekonomi digital dan pembuatan manakala, Pengerang pula akan menjadi pusat sektor tenaga, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan.

Pemilihan kawasan-kawasan ini mencerminkan strategi yang teliti dalam memanfaatkan kelebihan geografi dan industri masing-masing.

Salah satu komponen penting dalam pelaksanaan JS-SEZ ialah pembangunan infrastruktur yang menyokong operasi zon tersebut termasuk Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Baru dan Singapura.

Rel yang dijangka beroperasi pada Januari 2026 itu akan memudahkan pergerakan orang dan barangan antara kedua-dua bandar, sekaligus mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura.

Selain daripada RTS, pembesaran dan penambahbaikan lebuh raya serta rangkaian pengangkutan tempatan di Johor juga sedang giat dijalankan bertujuan untuk menyokong peningkatan trafik dan aktiviti ekonomi yang dijangka meningkat dengan pelaksanaan JS-SEZ.

Satu lagi aspek kritikal dalam perancangan JS-SEZ ialah pembangunan bakat tempatan di mana kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani kekurangan bakat dan memastikan bahawa industri dalam zon itu mendapat akses tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Majlis tersebut juga dijangka akan bekerjasama rapat dengan industri dan institusi pendidikan untuk menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan sektor-sektor dalam zon tersebut.

Antara cabaran utama untuk merealisasikan JS-SEZ yang dibangkitkan semasa persidangan Invest Johor 2024 ialah kesukaran dalam mendapatkan permit dan visa khas untuk profesional luar negara yang bakal menjadi halangan dalam menarik bakat terbaik di zon itu.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, Christina Tee berkata, walaupun syarikat-syarikat bersedia untuk membayar lebih bagi mendapatkan jurutera berkemahiran tinggi, rangka kerja kawal selia yang sedia ada perlu lebih menyokong untuk memudahkan proses tersebut.

Ini menunjukkan selain pembangunan infrastruktur dan bakat, aspek kawal selia juga memainkan peranan penting dalam kejayaan JS-SEZ.

Persidangan Invest Johor yang merupakan platform perbincangan mengenai JS-SEZ turut menampilkan lapan sesi pecah korporat yang diadakan dalam mod hibrid bagi memaksimumkan penyertaan pelabur dari pelbagai negara dan sektor.

Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk Centurion Corp Ltd dari Singapura, Johor Plantations Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd, VS Industry Bhd, Sunway Bhd, Tiong Nam Logistics Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan UEM Sunrise Bhd. - DagangNews.com