JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) mengadakan mesyuarat khas di sini hari ini bagi membincangkan perkembangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee.

"Mesyuarat itu membincangkan mengenai draf perjanjian bersama penubuhan JS-SEZ, antara Malaysia dan Singapura, yang dijangka akan ditandatangani semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 berkemungkinan pada bulan depan.

"JS-SEZ bertujuan untuk membawa manfaat bersama kepada perniagaan dan rakyat kedua-dua negara, termasuk meningkatkan aliran barangan dan manusia, kemudahan menjalankan perniagaan, dan menyokong pembangunan tenaga kerja," kata Rafizi dan Lee dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat.

Menurut kenyataan itu, JMCIM akan membuat penstrukturan semula penganjurannya tahun depan bagi menyokong inisiatif itu dan kemajuannya dengan lebih baik.

"JMCIM berharap dapat bersidang semula pada separuh pertama 2025 untuk mengekalkan momentum positif kerjasama dua hala," kata kenyataan itu.

Pada Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai JS-SEZ antara Malaysia dan Singapura.

Semasa membentangkan Belanjawan 2025, Anwar berkata bahawa beliau akan mengumumkan insentif khas untuk JS-SEZ menjelang akhir tahun ini.

-- BERNAMA