KUALA LUMPUR: Susulan kejayaan luar biasa Konsert Cipta pada 10 Ogos lalu, seniman Datuk M Nasir akan sekali lagi mengadakan konsert solo itu pada 12 Oktober ini.

Masih mengekalkan lokasi Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Konsert Cipta 2 akan meneruskan kegemilangan Konsert M Nasir Cipta 1.

Konsert anjuran ICON Entertainment itu bagaimanapun hanya akan menerima kehadiran penonton dalam kapasiti yang cukup terhad.

Konsert M Nasir Cipta 2 akan dibuka untuk jualan tiket sebanyak 6,000 keping sahaja.

“Konsert ini diadakan sekali lagi bagi memenuhi permintaan ramai orang yang belum moved on dengan konsert tempoh hari,” kata M Nasir dalam sidang media, di sini, hari ini.

Persembahan kali ini, jelas beliau, akan mempunyai lagu-lagu yang berbeza selain karya-karya lama beliau.
 
“Kami akan cuba membawakan lagu-lagu yang tidak dibawa pada konsert pertama dan kami akan menambah lagi beberapa lagu baharu (rakaman-rakaman saya) dalam persembahan kali ini.

“Saya harap konsert Cipta 2 akan lebih bertenaga dan memberi makna kepada anda,” kata M Nasir.
 
Harga jualan tiket adalah seperti berikut: RM 238 (Fantasia Bulan Madu - FBM), RM338 (Mentari Merah Di Ufuk Timur - MMDUT), RM458 (Layang-layang Terputus Talinya - LLTL), RM488 (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara - SBSDGS), RM528 (Laila Namamu Teratas - LNT), dan RM588 (Keroncong Untuk Ana - KUA).

Tiket-tiket untuk konsert Cipta 2 M Nasir akan mula dijual pada 27 Ogos ini jam 2 petang di laman www.ticket2u.com.my/mnasircipta2 .