Ringkasan AI
- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
- Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua tahun 2024.
- MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri.
Menerusi kenyataan BNM, pengekalan itu disebabkan ekonomi global terus berkembang di tengah-tengah pasaran buruh yang berdaya tahan dan pemulihan berterusan dalam perdagangan global.
‘’Pertumbuhan global pada masa hadapan dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan dibendung oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.
‘’Selain itu, perdagangan global terus kukuh berikutan momentum peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan,’’ kata kenyataan itu.
Pada masa sama, inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, dengan beberapa bank pusat mula melonggarkan dasar monetari.
Tambahnya, prospek pertumbuhan pula terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.
‘’Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua tahun 2024.
‘’Ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik,’’ ujarnya.
BNM juga berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada lima bulan pertama tahun 2024.
‘’Seperti yang dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.
‘’Bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan,’’ jelasnya.
BNM menambah pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi bergantung kepada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
Bagi seluruh tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berpurata dalam julat diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.
Ujarnya lagi, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.
MPC bagaimanapun tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri.
Malah MPC juga akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.