KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya tinggi hari ini dengan Indeks penunjuk pasaran meneruskan aliran meningkatnya bagi hari ketiga berturut-turut apabila keyakinan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) telah merangsang sentimen risiko domestik dan juga global.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 4.74 mata atau 0.29 peratus kepada 1,623.12 daripada paras penutup 1,618.38 pada Rabu.

Indeks itu dibuka tinggi naik 2.78 mata kepada 1,621.16 dan bergerak antara paras 1,621.10 dan 1,628.35 sepanjang sesi pagi.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 761 berbanding 478 dengan 471 kaunter tidak berubah, 721 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.39 bilion unit bernilai RM4.41 bilion daripada 4.76 bilion unit bernilai RM3.71 bilion pada Rabu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beberapa aktiviti pengambilan untung muncul pada sesi tengah hari dengan kenaikan indeks utama berkurangan separuh daripada yang direkodkan sebelumnya.

Bagaimanapun, indeks penunjuk pasaran itu berjaya pulih semula untuk ditutup tinggi sejajar dengan indeks utama serantau lain yang mencatatkan prestasi positif susulan kenaikan di Wall Street semalaman.

"Pada masa yang sama, pelabur sedang memantau sebarang impak daripada keputusan Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China untuk mengetatkan peraturan mengenai jualan singkat dan dagangan kekerapan tinggi untuk membendung arbitraj yang tidak wajar dan mengekalkan kestabilan pasaran," katanya kepada Bernama.

Thong berkata FBM KLCI berusaha untuk melepasi paras rintangan utama pada 1,630 di tengah-tengah pemangkin domestik dan global yang positif.

Terdahulu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini Bank Negara Malaysia berkata Kadar Dasar Semalaman yang dikekalkan pada 3.00 peratus akan terus menyokong pertumbuhan selain mengekang kadar inflasi.

Bank pusat turut menjangkakan ekonomi negara akan terus bertambah baik.

Selain itu, JP Morgan juga menaikkan penarafannya terhadap Malaysia selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan IHH Healthcare meningkat empat sen masing-masing kepada RM10.06 dan RM6.34, Tenaga Nasional naik 20 sen kepada RM14.60, CIMB tidak berubah pada RM7.09 manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.12.

Dalam kalangan saham cergas yang kebanyakanya dikuasai kaunter berkaitan teknologi, Nova MSC susut tujuh sen kepada 20 sen, ATA IMS turun tiga sen kepada 52 sen, Dataprep berkurangan dua sen kepada 22.5 sen, G3 Global melonjak setengah sen kepada 3.5 sen manakala Ekovest menokok satu sen kepada 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 71.94 mata kepada 12,582.32, Indeks FBMT 100 naik 69.39 mata kepada 12,155.30, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 106.43 mata kepada 12,963.69 dan Indeks FBM 70 menokok 230.79 mata kepada 18,794.32.

Indeks FBM ACE susut 32.59 mata kepada 5,941.99.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 45.26 mata kepada 17,794.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.97 mata kepada 201.03, manakala Indeks Perladangan susut 3.80 mata kepada 6,954.17 dan Indeks Tenaga turun 0.62 mata kepada 984.33.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.0 bilion unit bernilai RM3.85 bilion daripada 2.88 bilion unit bernilai RM3.22 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.15 bilion unit bernilai RM144.65 juta berbanding 905.55 juta unit bernilai RM115.50 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.23 bilion saham bernilai RM413.44 juta daripada 970.78 juta saham bernilai RM365.76 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 495.27 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (732.27 juta); pembinaan (379.95 juta); teknologi (340.60 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (115.92 juta); hartanah (346.43 juta); perladangan (55.41 juta); REITs (13.33 juta); dana tertutup (48,000); tenaga (185.49 juta); penjagaan kesihatan (112.86 juta); telekomunikasi dan media (87.10 juta); pengangkutan dan logistik (60.15 juta); utiliti (74.30 juta) dan amanah perniagaan (1.21 juta).

-- BERNAMA