KUALA LUMPUR: Pengendali akaun Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Meta Platforms Inc (Meta) telah menurunkan hantaran ucapan takziah bekas Perdana Menteri itu kepada Allahyarham Ismail Haniyeh.

"Tiada maklumat lanjut diberikan," kata pengendali akaun berkenaan dalam kemas kini pada Khamis.


Pada Rabu, Muhyiddin memuat naik ucapan takziah Perikatan Nasional  kepada ahli keluarga Allahyarham Ismail dan seluruh rakyat Palestin atas kehilangan pemimpin mereka yang syahid.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi menyatakan ketetapan tegas Malaysia dalam konflik Palestin.

Tegas Muhyiddin, insiden terhadap Ismail merupakan jenayah tidak berperikemanusiaan, terkutuk lagi terkeji yang wajib dikecam sekeras-kerasnya.

Selain Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi peringatan tegas terhadap Meta agar tidak menjadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel.

Ini selepas Meta bertindak menurunkan video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail yang terbunuh dalam serangan bersasar peluru berpandu di kediamannya di Tehran, Iran, pada Rabu.