META sedia melakukan pelaburan tinggi dalam pembangunan model kecerdasan buatan mereka tersendiri dinamakan Llama, serta penawaran kepada umum dinamakan Meta AI. Selain daripada itu juga, Meta turut memfokuskan pembangunan peranti realiti-terimbuh melalui kaca mata pintar dan lain-lain.

Tidak setakat itu, kini hadir laporan mengatakan Meta sedang merancang untuk memasuki kategori baharu, iaitu pembangunan robot berbentuk manusia. Bahagian memfokuskan robot ini akan dibentuk dibawah Reality Labs yang sedia membangunkan beberapa perkakasan.

Meta merancang untuk membangunkan robot berbentuk manusia dalam membantu tugasan di rumah terlebih dahulu. Pelbagai teknologi dan sensor yang sedia dibangunkan dibawah Reality Labs dan juga pasukan kecerdasan buatan dijangka akan membantu dalam mempercepatkan pembangunan robot ini.

Meta dijangka membangunkan asas untuk pembangunan robotik termasuk sensor, perkakasan dan sistem operasi – dan mungkin menawarkan ia kepada pihak ketiga dalam menghasilkan robot masing-masing. Langkah ini dilihat akan membolehkan Meta menjadi platform utama dalam pembangunan robot – seperti mana Android untuk telefon pintar.

Di samping itu, Meta sendiri turut dijangka menawarkan robot berjenama sendiri kepada pengguna umum.

Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi Mark Zuckerberg berkenaan perkara ini, dan bagaimana Meta akan mencorak pembangunan robot manusia yang akan bergerak bebas di dalam rumah orang awam dan membantu tugasan harian di rumah.