KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini disokong oleh faktor asas yang menggalakkan terutamanya kekurangan bekalan getah di tengah-tengah permintaan yang semakin baik terhadap getah asli, kata seorang peniaga.

Beliau berkata permintaan getah asli global meningkat pada kadar yang lebih pantas iaitu 1.2 peratus, berjumlah 9.0 juta tan seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) dalam laporan statistik getah asli bulanannya.

"Sebaliknya, dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, pengeluaran getah asli global menyaksikan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.7 peratus, mencecah 7.1 juta tan.

"ANRPC kini mengunjurkan pengeluaran global berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 0.4 peratus manakala permintaan global dijangka meningkat dengan lebih cepat iaitu 2.3 peratus, mencerminkan semakan semula bekalan dari China dan Vietnam," katanya kepada Bernama.


Bagaimanapun, katanya, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta para peniaga menunggu data ekonomi AS dan China yang akan dikeluarkan minggu ini.

Harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) meningkat sebanyak setengah sen kepada 805.0 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 3.0 sen kepada 649.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 799.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 650.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA