KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis mencerminkan aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata penurunan itu juga disebabkan para peniaga memberi reaksi terhadap kenyataan terkini Suruhanjaya Eropah mengenai pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

Niaga hadapan getah Jepun mengakhiri peningkatan tujuh sesi dagangannya berturut-turut hari ini susulan data ekonomi global yang lemah dan ketegangan perdagangan yang meningkat sekitar pengguna utama, China yang membebankan sentimen, kata peniaga tersebut.

"Ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah juga memberi kesan negatif terhadap sentimen global."

"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya terhad berikutan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, kenaikan harga minyak mentah dan kebimbangan bekalan getah asli yang terhad disebabkan ramalan cuaca buruk," katanya kepada Bernama.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 14.5 sen kepada 888.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 3.0 sen kepada 729 sen sekilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 878.50 sen sekilogram dengan lateks pukal berada pada 733 sen sekilogram.

-- BERNAMA