SEJAK Pokemon GO dilancarkan di Amerika Syarikat 5 Julai lalu, ia pantas menjadi kegilaan dan mencetuskan fenomena di seantero dunia

Penduduk di Malaysia bagaimanapun terpaksa menunggu seketika sebelum pembangunnya, Niantic menandakan Malaysia sebagai ‘available’ dalam laman web rasminya.

Malaysia tersenarai bersama 14 negara Asia lain yang kini boleh merasai deman Pokemon GO, antaranya Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.


Saya juga tidak ketinggalan memuat turun permainan itu Sabtu lalu apabila mendapat tahu ia sudah boleh didapati dan terus mencubanya.

Tetapi tak sampai 30 minit mencuba permainan itu saya hilang mood. Terus saya ‘uninstall’.

Bukan sebab tidak pandai ‘memburu’ dan ‘berinteraksi’ dengan pelbagai makhluk yang menjadi konsep permainan itu tetapi saya rasa seperti ‘terlalu mencuba’.

Tidak main Pokemon GO = Tidak 'cool'?

Dalam kajian psikologi, individu itu cenderung mengikut tabiat masyarakat majoriti hanya semata-mata ingin menyesuaikan diri kepada persekitarannya.

Seseorang akan merasakan seolah-olah tidak diterima dalam masyarakat kerana tidak melakukan apa yang kebanyakan orang ramai lakukan.

Jadi, menyesuaikan diri merupakan salah satu cara untuk mencapai harmoni dalam diri.

Dalam kes ini adalah kegilaan terhadap Pokemon GO, walaupun ada Gen Y yang tidak merasa langsung pengalaman bermain Pokemon sewaktu permainan video itu popular sekitar tahun 1990-an.

Tidak hairanlah permainan itu menjadi kegilaan mereka mereka yang berusia belasan tahun hingga lewat 20-an kerana ia mengimbas kenangan mereka sewaktu zaman kanak-kanak.

Tetapi yang peliknya, ada juga golongan yang rambutnya sudah mula berubah warna kepada putih ‘sama naik’ bermain Pokemon GO hanya semata-mata mahu menyertai kegilaan trend ini.

Tidaklah salah, tapi pelik. Begitulah hebatnya penangan Pokemon GO ini.

Seorang rakan pernah menyatakan kepada saya, "Hang ni tak cool la", apabila saya menyatakan saya tidak berminat main Pokemon Go.

Tidak mengapalah.

Tahu keutamaan

Dalam keghairahan masyarakat menangkap dan berinteraksi dengan 'makhluk-makhluk' itu, ada yang sampai mengabaikan keselamatan diri, terleka dengan tugas yang lebih penting.

Dalam satu video yang viral di media sosial, seorang wartawan dikesan sedang cuba menangkap Pokemon ketika sidang media oleh Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, John Kirby sedang berlangsung.

Nampaknya memburu Pokemon sudah menjadi aktiviti sosial, boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan tidak kira masa. Ini boleh menjadi penyumbang kepada kemerosotan produktiviti dan mengakibatkan kerugian jika tidak tahu keutamaan.

Beberapa hari lepas, saya terserempak dengan sepasang pengembara warga asing di sekitar Kuala Lumpur, tersudut sambil memegang telefon pintarnya.

Apabila dihampiri rupanya mereka berada di tempat yang dikatakan sebagai PokeGym, iaitu lokasi pelatih-pelatih Pokemon bertarung sesama mereka mengguna 'makhluk' yang telah diburu terlebih dahulu untuk melihat siapa lebih kuat.

Saya katakan kepada mereka "Masya-Allah brother, you will miss a lot of beautiful things here if you guys keep playing that."

Pendek kata, tidak rugi kalau tidak main Pokemon GO tetapi boleh rugi besar kalau silap gaya bermain.

Kalau tidak percaya, tanyalah kawan-kawan yang pernah terhantuk atau terlanggar cermin kaca ketika kejar Pokemon.


* Artikel ditulis oleh wartawan dan penyampai berita Astro AWANI, Abdul Hakim Rahman.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.