PERNAHKAH anda berdepan dengan situasi ini, ibu bapa atau orang tua di rumah mengadu tidak dapat fokus pada bahagian tengah atau pusat sesuatu objek, ataupun pandangan pusat kabur dan kehitaman?

Jika ada, ia adalah tanda mereka mungkin menghadapi masalah degenerasi makula disebabkan usia atau age-related macular degeneration (AMD) yang lazimnya berlaku pada usia tua. Tetapi baru-baru ini, trend gejala ini dikatakan semakin menjadi-jadi dalam kalangan dewasa di bawah usia 50-an, sekali gus menekankan kepentingan kita menjaga kesihatan diri.

Pakar Perunding Oftalmologi dari Hospital Pantai Ampang, Dr Sunita Padmanabhan berkata, AMD adalah gejala yang tidak semestinya berkaitan kesihatan mata sahaja, sebaliknya melibatkan penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

Beliau menekankan, faktor gaya hidup seperti tabiat pemakanan, pendedahan kepada cahaya matahari secara langsung dan berlebihan, amalan merokok dan faktor keturunan sebagai penyumbang kepada trend berkenaan. Ini sekali gus menjadi cabaran kepada kesihatan penglihatan dan kesejahteraan keseluruhan.

“Tidak dinafikan trend masalah penglihatan AMD turut menjejaskan individu yang jauh lebih muda dan apa yang mendukacitakan ialah sebahagian besarnya disebabkan faktor gaya hidup yang tidak sihat,” kata beliau.

Bagi memahami AMD, Sunita menyatakan adalah penting adanya kesedaran mengenai pengesanan awal dan strategi pengurusan yang proaktif. “Ia adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan kesan AMD terhadap penglihatan dan kualiti hidup.”

Faktor risiko utama AMD individu muda

Dr. Sunita menggariskan beberapa faktor risiko utama yang menyumbang kepada peningkatan AMD dalam kalangan individu yang lebih muda, khususnya mereka yang berusia di bawah 50-an dan 40-an:



Dr Sunita menerangkan, pilihan tabiat pemakanan memainkan peranan besar kepada gejala dan keseriusan AMD.

“Hanya dengan memperbaiki gaya hidup, termasuk diet sihat khususnya dengan mengurangkan pengambilan makanan segera dan diproses yang mengandungi kandungan lemak tepu serta mengutamakan pengambilan sayur-sayuran hijau dan berdaun dapat mengurangkan risikonya.

Amalan pemakanan sememangnya memberi kesan dan oleh itu ia harus diperbetulkan segera. Tabiat makan yang buruk yang meningkatkan paras kolesterol, gula atau diabetes dan sebagainya secara langsung mahupun tidak langsung menyumbang kepada kesihatan mata,” katanya.

Selain tabiat makan, Dr. Sunita mengesyorkan agar melakukan senaman secara berkala dan konsisten. Manakala sekiranya merokok, beliau gesa agar berhenti dari amalan itu serta cuba mengelakkan diri daripada terdedah kepada cahaya matahari secara langsung.

“Anda boleh menggunakan topi atau kaca mata hitam untuk melindungi mata jika bekerja di bawah panas terik. Elakkan merokok sama sekali. Amalan gaya hidup yang sihat mampu mengawal kesihatan mata dan boleh mengurangkan risiko AMD khususnya dalam kalangan generasi muda,” jelas Dr. Sunita.

Tanda dan gejala AMD

Gejala AMD dikatakan bersifat langsung di mana ia menyerang terus penglihatan pusat mata. Bagaimanapun, Dr. Sunita akui gejala seperti sensitif kepada cahaya terang dan penglihatan yang terhad di tempat gelap antara simptom kepada gejala ini.

Untuk makluman pembaca, Dr. Sunita berkongsi bahawa gejala AMD ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu AMD basah dan kering, yang mana gejala dan rawatannya berbeza walaupun kedua-duanya berakhir dengan kekaburan pada penglihatan pusat.

AMD jenis basah mengakibatkan penglihatan kabur secara tiba-tiba disebabkan oleh pendarahan dan pengumpulan sejenis cecair protein pada urat mata. Walaupun ia jarang berlaku tetapi ia memberi kesan yang segera kepada penglihatan pusat mata.

Manakala, AMD jenis kering pula menyebabkan kehilangan penglihatan pusat secara beransur-ansur, selalunya tanpa sebarang amaran yang ketara sehingga kehilangan penglihatan pusat. Gejala ini dikatakan paling umum dalam kalangan golongan berusia dan kini, golongan yang lebih muda.

Dr. Sunita berkata, “Pengesanan awal bagi gejala AMD hanya boleh dilakukan melalui pemeriksaan mata. Ia memainkan peranan penting dalam menguruskan AMD secara efektif, terutamanya kepada pesakit yang lebih muda.”

Dr. Sunita menekankan agar melakukan pemeriksaan mata yang komprehensif oleh pakar oftalmologi untuk mengesan AMD lebih awal walaupun gejala ini mungkin belum bermula lagi. Beliau menggesa agar melakukan pemeriksaan mata lengkap dan komprehensif setiap tiga hingga lima tahun sekali bagi mereka yang berusia di bawah 50-an dan secara tahunan bagi mereka yang sudah berumur 50 ke atas.

Dr. Sunita berkata, pengesanan awal bagi gejala AMD hanya boleh dilakukan melalui pemeriksaan mata.

Langkah-langkah pencegahan dan pilihan rawatan

Dr. Sunita berkali-kali mengesyorkan agar mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan pengurusan kesihatan mata yang konsisten. Pilihan rawatan untuk gejala AMD termasuk pemantauan berkala dan mengambil suplemen vitamin seperti lutein, zeaxanthin, asid lemak omega-3, zink, vitamin C & E bagi AMD kering serta suntikan intravitreal dan terapi laser yang mana lebih banyak digunakan dalam mengawal AMD basah.

Implikasi jangka panjang dan salah tanggapan

Implikasi jangka panjang AMD boleh menjejaskan kehidupan seharian di mana membabitkan gangguan kepada kerja harian, terutama sekali mereka yang bekerja menghadap skrin komputer. Kesannya juga turut didapati mempengaruhi kesihatan mental.

“Mereka yang terkesan dengan AMD tidak dapat membaca, menulis, bahkan berdepan kesukaran melihat wajah orang di hadapannya. Mereka mungkin boleh melihat rambut atau latar seseorang tetapi bukan muka yang menjadi pusat pandangan,” terang beliau.

Dr. Sunita juga menegaskan bahawa banyak salah tanggapan yang mengelilingi AMD, misalnya ia tidak boleh dirawat sedangkan pengesanan awal, pengubahsuaian gaya hidup, dan pemeriksaan mata yang kerap boleh membantu dalam mengurangkan risiko AMD.

Memandangkan AMD terus menjejaskan kualiti kehidupan khususnya golongan muda, Dr. Sunita akui semua orang harus mempunyai kesedaran mengenai AMD dan mengutamakan langkah pencegahan dalam melindungi penglihatan dan kualiti hidup.