SEJARAH mencatatkan tentang pendudukan Belanda di Melaka setelah 130 tahun Portugis menjajah Melaka. Ekspedisi terawal Belanda sampai ke Kepulauan Melayu ialah pada tahun 1559 dengan penaklukan terhadap Betawi di Kepulauan Jawa.
Bagi memastikan penaklukan Portugis berakhir di Melaka, maka Belanda menghulurkan salam persahabatan dengan kerajaan Johor. Baik bukan sebarang baik, baik Belanda mempunyai adicita tersendiri. Impian besar Belanda untuk menghapuskan penguasaan Portugis di Melaka berjaya dilaksanakan pada tahun 1641.
Bertitik tolak daripada kehadiran Belanda di alam Melayu maka pelbagai istilah berkaitan dengan Belanda dicipta oleh masyarakat pada zaman tersebut termasuklah penciptaan peribahasa dan pantun Melayu. Kosa kata yang ‘meminjam’ nama Belanda semakin lama semakin bertambah. Seperti mana “Yahudi” dijengkelkan dalam maksud yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan, begitu jugalah dengan konotasi terhadap “Belanda”.
Namun begitu tidak semua kosa kata yang digandingkan dengan Belanda membawa konotasi yang buruk. Sesetengahnya sengaja digandingkan bagi menggambarkan tentang keterasingan dan kesepadanan. Ada juga perkataan Belanda yang menjurus terus kepada bangsa dan negara Belanda itu sendiri. Penulis akan mengupas tentang pantun dan peribahasa Melayu yang mempunyai kosa kata “Belanda”.
Pantun berunsur “Belanda”
Pantun merupakan akal budi orang Melayu, iaitu penciptaan bait-bait diksi yang indah yang mempunyai unsur alam dan persekitaran masyarakat pada zaman penciptaan pantun tersebut. Pantun juga ialah daya fikir dan kebijaksanaan orang Melayu. Mari kita selusuri beberapa pantun Melayu lama yang menggunakan pembayang dengan diksi “Belanda”.
Dari Aceh perang Belanda,
Belanda banyak beribu-ribu;
Cerailah kasih kepada kanda,
Dindalah jangan mata bankudu.
Inderagiri Kota Belanda,
Orang Aceh menanam buluh;
Memang untung berkahwin janda,
Anak besar boleh disuruh.
Hari Ahad minggu Belanda,
Kapitan Cina bergelang kaki;
Cuba ditanya pengubat lama,
Bolehkah tidak kembali lagi.
Anak Cina anak Belanda,
Pulang terbang Batu Lintan;
Jikalau kena dengan cara,
Nyawa dan badan saya berikan.
Buah padi masak bersantar,
Diberi oleh raja Belanda;
Tujuh hari mayat terlantar,
Menanti ubat bawaan adinda.
Perkataan-perkataan yang digelapkan di atas jelas menunjukkan betapa rinci penakulan dan pemerhatian masyarakat Melayu lama terhadap bangsa Belanda dari pelbagai sudut pandangan. Perang Belanda merujuk pada perang Aceh-Belanda pada tahun 1873 hingga 1904.
Peperangan tersebut menyebelahi pihak Belanda kerana armada tenteranya yang banyak dan senjatanya yang lebih moden berbanding lasykar Aceh. Apa pula hubungan kerajaan Inderagiri dengan Kota Belanda?
Dari sudut sejarah, Inderagiri dicatatkan pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Belanda selepas Belanda mengusir Portugis di Melaka sehingga diberikan peluang untuk membina sebuah kota yang dinamakan sebagai Kota Belanda di Inderagiri berdasarkan perjanjian pada tahun 1664 (www.kompas.com).
Namun menurut rekod Arkib Negara Malaysia, Belanda juga pernah mendirikan sebuah kota di Pulau Pangkor sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperoleh di Perak sekitar tahun 1670.
Mari kita renungkan pula pembayang pantun yang menggunakan frasa hari Ahad minggu Belanda. Hari Ahad ialah hari cuti hujung minggu yang diperkenalkan oleh bangsa Eropah yang menjajah alam Melayu termasuklah Belanda. Ahad adalah hari mereka ke gereja. Sehingga hari ini pun, hari Ahad masih menjadi hari berhujung minggu di kebanyakan negara di dunia.
Adakah negeri yang bercuti pada hari Ahad mengambil acuan amalan orang Belanda? Jika jawapannya ‘ya’, adakah kita selesa menerima perangai penjajah walaupun mereka sudah lama terusir dari alam Melayu? Tepuk dada tanya selera.
Apa pula maksud anak Belanda dalam pembayang pantun seterusnya? Anak Cina dan anak Belanda kedua-duanya menggambarkan orang asing dalam kelompok masyarakat Melayu. Begitulah tingginya budi pekerti orang Melayu sehingga tidak melupakan orang asing yang bertandang di Tanah Melayu. Menamakan anak Cina dan Belanda dalam pantun Melayu bukanlah perkara asing. Sekurang-kurangnya terdapat lapan jenis bangsa asing yang kebiasaannya ditemukan dalam pantun Melayu selain Cina dan Belanda. Bangsa tersebut ialah India, Jepun, Arab, Inggeris, Portugis dan Jerman.
Bagi pembayang pantun terakhir, istilah raja Belanda merujuk pada kisah raja Belanda yang gemar memberi hadiah kepada sesiapa yang disukainya termasuklah kepada Raja Ali Haji seorang ilmuwan tersohor semasa dominasi Belanda terhadap Kesultanan Riau-Lingga pada tahun 1824. Belanda bermula sebagai negara monarki dan menjadi negara demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan bermula pada tahun 1848.
Peribahasa “Belanda”
Peribahasa didefinisikan sebagai ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu (Kamus Dewan Edisi keempat). Sebagaimana pantun, peribahasa juga merupakan sebahagian daripada kebijaksanaan orang Melayu yang gemar berlapis cakap dan berhati-hati dalam pertuturan.
Kesopanan berbahasa inilah citra Melayu yang paling unggul apabila terciptanya peribahasa, bidalan, perumpamaan dan simpulan bahasa. Apakah peribahasa Melayu yang dikaitkan dengan Belanda?
Antara peribahasa yang ditemukan ialah lelong Belanda iaitu sejenis lelongan yang menggabungkan lelongan tradisional dengan cabutan bertuah. Cara lelongan ini biasanya dijalankan dalam majlis amal untuk mengutip dana. Dalam acara lelongan ini, pembida tidak membeli barang yang dilelong sebaliknya membeli tiket cabutan bertuah yang ditawarkan. Pembelian tiket tersebut akan memberi peluang kepada pembida untuk memenangi barang yang dilelong. Pembida boleh membeli tiket tanpa had pembelian dan berhak membuat bidaan seberapa banyak barang yang dikehendakinya.
Istilah lelong Belanda ini berasal daripada pemerhatian masyarakat Melayu yang menyertai acara lelongan yang bersifat lain daripada lelongan biasa dalam kalangan gabenor Belanda pada zaman feudal.
Dalam bidang ekonomi terdapat simpulan bahasa paku Belanda yang membawa maksud, harga yang telah tetap dan tidak boleh ditawarkan lagi (Kamus Dewan Edisi keempat). Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai fixed price.
Umum mengetahui kedatangan Belanda ke alam Melayu adalah untuk menguasai perdagangan rempah untuk dibawa ke Eropah. Belanda telah mengawal harga perdagangan rempah dari awal kos penanaman, pengeluaran dan pengeksportannya. Ketetapan harga yang dikuasai oleh mereka ini tiada jalan rundingan kerana harga tersebut telah tetap dan tidak boleh diubah-ubah.
Manakala istilah penyakit Belanda (Dutch disease) pula bermaksud hubungan yang jelas antara peningkatan dalam pembangunan ekonomi sektor tertentu dan penurunan yang ketara dalam sektor-sektor lain. Pakar ekonomi menemui istilah ini pada tahun 1977 bagi menggambarkan situasi ekonomi di Belanda yang menyimpang daripada peraturan biasa.
Jika kita menelusuri keindahan peribahasa Melayu yang menyebut tentang “Belanda” sudah pasti kita temui peribahasa “seperti Belanda kesiangan” yang membawa maksud orang yang berperangai seperti bangsa Belanda yang terpinga-pinga apabila bangun tidur hari sudah siang.
Kita maklum akan perangai orang Barat (termasuk orang Belanda) yang gemar minum arak dan kaki mabuk. Kebiasaannya apabila mereka mabuk yang keterlaluan mereka akan tidur lebih lama dan bangun lebih lewat. Terdapat catatan Inggeris yang menyebut bahawa orang Belanda akan minum arak terlebih dahulu untuk beraksi lebih ganas dan berani bertindak apabila ingin melancarkan serangan terhadap musuh.
Terdapat juga peribahasa “bagai Belanda minta tanah” yang bermaksud sudah dapat sedikit, mahukan yang lebih banyak. Hal ini merujuk kepada perangai orang Belanda semasa menjajah alam Melayu. Mereka memperhambakan penduduk di satu-satu tempat dengan memperdagangkan industri rempah di tanah penduduk asal hamba itu sendiri. Dalam erti kata lain, mereka ini bangsa yang tamak haloba – diberi betis, hendak peha.
Kita juga biasa mendengar perumpamaan “dulu intan, sekarang jadi batu Belanda”. Hal ini merujuk tentang orang yang berpangkat yang telah dilucutkan atau diturunkan pangkatnya. Sama juga maksudnya tentang sesuatu bangsa yang sudah jatuh dan tiada nilainya. Peristiwa ini berlaku pada zaman kegemilangan enterport Melaka semasa penguasaan Belanda di Melaka pada tahun 1641 yang semakin merudum setelah Belanda merampasnya daripada Portugis sehingga perdagangan di pelabuhan Melaka lenyap kemegahannya.
Peribahasa “tidak mati oleh Belanda” pula bermaksud orang yang sudah kaya sekaya-kayanya, tidak akan miskin dan kekal kaya walaupun mengalami kerugian. Semasa Belanda menakluki alam Melayu, mereka bukan sekadar menjajah tetapi turut merampas harta benda bangsa yang dijajah terutamanya semasa Belanda menakluk Melaka.
Maka ramai dalam kalangan orang Melayu yang kaya raya melarikan diri dengan membawa harta mereka ke luar negeri Melaka. Mereka menyembunyikan harta mereka di kebun-kebun di luar negeri Melaka bagi mengelakkan daripada dirampas oleh orang Belanda. Hal ini pernah disebut oleh Fernao Lopes de Castanheda (1509), iaitu seorang ahli sejarah Portugis.
Adakah orang Melayu sahaja yang mempunyai konotasi yang buruk terhadap Belanda? Semestinya tidak! Sikap dan sifat orang Belanda turut dijadikan bidalan, sindiran dan bahan ketawa dalam kalangan orang Inggeris kerana Inggeris dan Belanda juga tidak pernah sebulu berabad lamanya.
Orang Inggeris juga telah mencipta bidalan mereka sendiri yang berkaitan dengan orang Belanda. Antara yang ditemui ialah going Dutch, Dutch courage, Dutch bargain, to speak double Dutch, Dutch uncle dan Dutch feasts.
Maka tidak hairanlah apabila masyarakat kita sering mengeluarkan ungkapan yang menggunakan perkataan “Belanda” dan “Yahudi” bagi merujuk sesuatu yang negatif kerana kedua-dua bangsa ini merupakan bangsa yang pernah menzalimi bangsa lain walaupun masih ada kebaikan yang mereka lakukan dalam dunia ini.
* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Azura Halid
Wed Jul 17 2024
Bertitik tolak daripada kehadiran Belanda di alam Melayu maka pelbagai istilah berkaitan dengan Belanda dicipta oleh masyarakat pada zaman tersebut. - Ilustrasi: Wikipedia
Sarawak kuat kuasa perintah vaksinasi antirabies baharu
Dr Rundi berkata semua anjing di Sarawak kini diwajibkan untuk menjalani vaksinasi antirabies dan menerima suntikan penggalak tahunan.
Prabowo puji kabinetnya atas komitmen pada tiga bulan pertama
Beliau menekankan komitmen dan etika kerja menteri dan timbalan menteri, serta memberi penekanan kepada fokus berkhidmat untuk rakyat.
Kelahiran bayi di Korea Selatan pada November tertinggi dalam 14 tahun
Ini merupakan kenaikan tahun ke tahun terbesar sejak November 2010, apabila kelahiran meningkat sebanyak 17.5 peratus.
Sarawak perlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif - Abang Johari
Untuk mencapai matlamat itu, Sarawak akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Thailand lancar video AI untuk pulihkan keyakinan pelancong China
Video tersebut bertujuan untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan pelancong China terhadap keselamatan di Thailand.
Angka korban kebakaran Los Angeles meningkat kepada 28
Menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, setakat ini, empat kebakaran liar masih berlaku di seluruh Los Angeles County.
11 penumpang maut, ramai cedera dalam nahas kereta api di Maharashtra, India
Sekurang-kurangnya 11 penumpang maut manakala ramai lagi cedera selepas dilanggar oleh sebuah kereta api di negeri Maharashtra, India, pada Rabu.
10 Berita Pilihan - (22 Januari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tumpuan Khamis – 23 Januari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Kebakaran resort ski, Presiden Turki hadir beri penghormatan terakhir
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah serta mendoakan agar mereka dirahmati oleh tuhan.
Belanda kurangkan separuh bilangan diplomat Venezuela
Belanda memutuskan untuk mengurangkan separuh bilangan diplomat Venezuela di negara itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Caracas.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Pihak berkuasa Belanda denda Netflix kerana langgar peraturan perlindungan data
Netflix didapati gagal memberi maklumat yang jelas kepada pelanggan dalam kenyataan privasinya mengenai bagaimana data mereka digunakan.
Letupan di The Hague: 5 mayat ditemukan, pencarian mangsa diteruskan
Pihak berkuasa Belanda mengesahkan penemuan lima mayat di bawah runtuhan sebuah bangunan pangsapuri yang sebahagiannya runtuh akibat letupan kuat pada pagi Sabtu.
Belanda hadkan penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol untuk kurangkan pencemaran bunyi
Kerajaan Belanda pada Jumaat mengumumkan rancangan untuk mengurangkan jumlah penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam bagi menangani pencemaran bunyi yang menjejaskan komuniti sekitar.
Belanda laksanakan pemeriksaan sempadan tambahan mulai 9 Dis
Belanda akan melaksanakan pemeriksaan sempadan tambahan secara sementara bermula 9 Dis bagi membendung "migrasi tidak teratur dan pemerdagangan manusia".
Penjara menanti pesalah MH17 jika keluar dari Rusia - Pendakwa raya
Menurut Digna van Boetzelaer, kerajaan Belanda tidak pernah meminta ekstradisi mereka kerana Rusia tidak mengekstradisi rakyatnya sendiri.
EURO 2024: Jaringan minit akhir Ollie Watkins pacu England mara ke final
Perlawanan separuh masa pertama menyaksikan England dan Belanda terikat 1-1 hasil jaringan 'roket' Xavi Simons dan Harry Kane.
EURO 2024: Belanda ditimpa musibah, kecewa dengan keadaan huru-hara
Belanda terkandas di platform stesen kereta api dan perlu melakukan penerbangan kecemasan untuk sampai ke venue pertandingan.
EURO 2024: Belanda bangkit benam Turkiye untuk ke separuh akhir
Belanda akan berdepan cabaran skuad The Three Lions dalam saingan peringkat separuh akhir saingan EURO 2024 minggu depan.