Twitter bakal melancarkan satu ciri terbaharu yang dikenali sebagai ‘Project Lightning’.

Ciri ini akan menyatukan kandungan dalam bentuk gambar atau video berdasarkan lokasi seseorang pengguna.

“Ini cara terbaharu untuk melihat tweets. Ini adalah satu perubahan yang drastik dan buka satu proses evolusi,” kata ketua produk Twitter Kevin Weil kepada laman web BuzzFeed.

Akan terdapat butang baharu di aplikasi mudah alih Twitter di mana pengguna boleh mengikuti acara-acara yang sedang berlangsung atau pun berita terkini.

“Ia adalah acara-acara yang menarik. Anda boleh mengikuti berita, majlis anugerah atau acara sukan. Anda juga boleh mengikuti acara kebudayaan atau apa-apa yang berlaku berdekatan lokasi anda.

“Terdapat pelbagai kandungan yang menarik. Sebagai contoh, pengguna sering menggunakan ‘Throwback Thursday’. Namun sekarang ia agak sukar kerana anda harus mencari kandungan tersebut tetapi kini kami akan pakejkan kandungan tersebut,” kata Weil.

Ia juga cara yang mudah untuk melihat kandungan yang menarik tanpa mengikut pengguna tersebut.

Kandungan tersebut juga boleh dilihat tanpa memerlukan pengguna untuk daftar masuk ke Twitter.

Ini kerana ia boleh dilihat menerusi Twitter.com, aplikasi mudah alih atau laman web lain.

Sekumpulan editor akan bekerja di bawah Katie Jacobs Stanton, yang mengendalikan operasi media global Twitter.

Mereka akan memilih kandungan yang terbaik dan relevan untuk koleksi ‘Project Lightning’.

Sementara itu, pengarang kanan Astro AWANI Zan Azlee, berpendapat bahawa Twitter mahu menjadi penerbit berita sama seperti Facebook dengan ‘Instant Articles’.

Menerusi laman webnya fatbidin.com, Zan berpendapat bahawa ini mungkin akan musnahkan ruang demokrasi yang ada di Twitter.

“Kerana jika ada satu pasukan yang akan menjadi kurator kandungan, maka mereka akan membuat keputusan sama ada sesiati isu atau kejadian patut diketengahkan atau tidak,” tulis Zan.