Cadangan untuk mengenakan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam wajar dilakukan namun perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Profesor Undang-Undang, Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Awal berpendapat, sudah tiba masanya ia dilaksanakan bagi mengurangkan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja.

“Saya berpendapat kita boleh memulakan dengan peringkat pertama bagi pelaksanaan tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 18 tahun untuk keluar rumah pada waktu malam.

“Saya juga mencadangkan pelaksanaan ini dilaksanakan secara berperingkat dengan bermula di negeri yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi melibatkan remaja.

“Ini bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan gejala berbahaya dan sepatutnya berada di rumah bersama ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


Ketika ditanya, adakah kumpulan remaja ini akan memberontak sekiranya perintah itu dilaksanakan, Noor Aziah berkata, penerimaan seseorang kanak-kanak itu terhadap pelaksanaan tersebut bergantung kepada keadaan di rumah masing-masing.

“Kanak-kanak (remaja) tiada kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu sehingga mereka mencecah usia 18 tahun.

“Penerimaan seseorang itu adalah berdasarkan keadaan di rumah sepanjang kehidupan mereka di rumah bersama ibu bapa.

“Sekiranya kanak-kanak sudah terbiasa dengan arahan ibu bapa untuk tidak keluar dari rumah pada waktu malam, mereka akan akur dengan keputusan itu, tetapi sekiranya sebaliknya, mungkin akan berlaku pertelingkahan,” ujarnya.



Jelasnya lagi, bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar, kerjasama antara ibu bapa dan pihak berkuasa perlu dilakukan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kajian terperinci yang akan dijalankan oleh kerajaan Kelantan berkaitan pelaksanaan perintah berkurung kepada remaja pada waktu malam.

Pada Khamis, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata kajian menyeluruh bagi mengetahui sebab remaja suka keluar rumah waktu malam sedang dilakukan sebelum pelaksanaan itu dibuat.

BACA: Perintah berkurung untuk remaja: Perlis tidak akan ikut Kelantan