DUA orang sahaja dalam pemikiran saya mampu memenangi emas skateboarding atau papan selaju yang pertama kali dipertandingkan di Olimpik - Nyjah Huston (Amerika Syarikat) dan Yuto Horigome (Jepun). Jarang sekali, dua orang skateboarder itu tidak berada pada prestasi yang terbaik di pentas tertinggi.

Penanda aras yang diletakkan oleh dua pemain tersebut berdasarkan prestasi mereka dalam Street League Skateboarding (SLS) yang menjadi medan ujian untuk format bagi Sukan Olimpik dan seterusnya pusingan kelayakan WorldSkate, bagi 20 atlet ke Olimpik Tokyo 2020.

Bagi saya, Huston adalah seorang skateboarder yang lengkap kerana mempunyai sosok tubuh yang atletik selain mental yang kuat. Setiap kali di gelanggang, peluncur Amerika Syarikat itu seakan tidak pernah tergugat dengan apa sahaja cabaran di gelanggang dan sentiasa fokus kepada permainannya sahaja.

Dalam perkiraan saya, peluncur berusia 26 tahun itu mempunyai 19 gelaran SLS sejak ia dipertandingkan pada 2010, selain mempunyai pengalaman yang sangat besar dalam kejohanan papan selaju peringkat tertinggi amatur dan profesional sejak 2004.

Sementara atlet kelahiran Tokyo, Yuto pula berpotensi untuk muncul juara di halaman sendiri. 2019 dan 2021 merupakan tahun yang cemerlang buat Yuto apabila memenangi World SLS Tour Los Angeles 2019, jauh meninggalkan Huston yang tidak mempamerkan prestasi yang baik untuk menduduki tangga kelapan.

Yuto, 22 tahun, sekali lagi cemerlang selepas kejohanan skateboarding berehat panjang akibat pandemik COVID-19 pada 2020, dengan memenangi Kejohanan Dunia Street Skateboarding 2021 pada 6 Jun di Rom, walaupun Yuto tidak mempamerkan prestasi yang cemerlang pada run pertama dan kedua.

Pada run yang pertama Yuto hanya mengutip 5.15 mata diikuti dengan 1.92 mata sahaja pada run kedua. Namun, Yuto bangkit semula dalam acara Best Trick, dengan menyempurnakan empat daripada lima cubaan yang diberikan untuk mengumpul 36.75 mata, sekali gus muncul juara.

Sebelum itu, emas seakan sudah dalam genggaman Huston di Rom apabila mendapat 8.63 mata dan 8.70 pada run pertama dan kedua, namun Huston sekadar membawa pulang perak selepas hanya berjaya menyempurnakan dua daripada lima Best Trick untuk mengumpul 35.75.



Seorang lagi atlet Jepun, Sora Shirai mempunyai skil dan kemampuan untuk muncul juara, bergantung kepada mood Sora pada hari itu. Pada kejohanan yang sama di Rom, Sora membawa pulang gangsa selepas mengumpul 34.58 mata.

Tiga atlet ini mempunyai peluang yang sangat cerah untuk memenangi emas. Yuto perlu baiki persembahannya dalam run, manakala Huston dan Shora perlu menyempurnakan sekurang-kurangnya tiga trick yang teknikal dalam saingan Best Trick jika mahu berada di puncak.

Tahun ini, Huston menjuarai kejohanan yang dianjurkan WorldSkate, badan induk bagi sukan beroda, Dew Tour di Des Moines pada Mei. Yuto menduduki tempat kedua hanya menyempurnakan dua Best Trick, walaupun mengumpul mata run yang tinggi, iaitu 9.01 dan 8.61.

Jika tiga skater di atas tidak dapat menyempurnakan big trick mereka dalam sesi Best Trick ataupun melakukan run dengan sempurna, atlet lain seperti Shane O’Neil (Australia) dan Kevin Hoeffler (Brazil) sudah pasti akan mencipta kejutan dan melakar sejarah atlet papan selaju pertama muncul pemenang emas Olimpik yang julung kali diadakan untuk sukan itu.

Di sebalik atlet skateboarding dilihat sengaja memberi ruang kepada rakan lain untuk mengutip mata yang cukup semasa peringkat kelayakan ke Olimpik dalam beberapa kejohanan yang lepas, semangat kesukanan yang tinggi itu sudah pasti tidak akan dipraktikkan di pentas kemuncak Tokyo 2020 nanti. Masing-masing pasti mahu mencatat sejarah sebagai pemenang emas pertama acara skateboarding di Olimpik.

Saingan Park Lelaki, Street dan Park Wanita amat berbeza daripada Street Lelaki kerana bakal juara sukar diramal. Namun trio Brazil, Leticia Bufoni, Pamela Rosa dan Rayssa Leal merupakan favorite untuk muncul juara. Lebih menarik, Leal baru sahaja berusia 13 tahun, namun sudah mampu memenangi kejohanan profesional yang diadakan sebelum ini.



Bufoni pula baru sahaja memenangi emas dalam saingan X Games minggu lepas. Ia sudah pasti menjadi pembakar semangat buatnya. Sementara dalam saingan park wanita, atlet sensasi kelahiran Jepun, Sky Brown yang baru berusia 13 tahun sudah pasti menjadi tumpuan.

Brown yang memilih untuk mewakili negara kelahiran bapanya, Great Britain baru sahaja memenangi emas X Games dalam saingan Park Wanita. Brown berpotensi untuk memenangi pingat emas, sekali gus menjadi antara pemenang pingat termuda di Sukan Olimpik. Pemenang emas termuda masih dipegang Marjorie Gestring dari Amerika Syarikat dalam acara terjun pada 1936 di Berlin pada usia 13 tahun 268 hari.



Namun, atlet tuan rumah seperti Misugu Okamoto dan Sakura Yosozumi yang menonjolkan peningkatan sejak kebelakangan ini, mampu untuk memenangi emas di halaman sendiri. Masing-masing menduduki ranking pertama dan kedua WorldSkate, sementara Brown di ranking ketiga dunia.

Selain itu, peluncur Amerika Syarikat, Brighton Zeuner bakal mencabar atlet wanita lain dalam saingan park. Pada usia 17 tahun, Zeuner sudahpun memenangi dua pingat emas X Games dan satu gelaran Kejohanan Dunia Vans Park Series.

Dalam Park Lelaki, Heimana Reynolds (Amerika Syarikat), Pedro Barros (Brazil) dan Zion Wright (Amerika Syarikat) adalah antara atlet yang menjadi tumpuan di Tokyo 2020. Berdasarkan ranking, Cory Juneau (Amerika Syarikat) dan Luiz Francisco (Brazil), masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Skateboarding atau sukan papan selaju membuat penampilan pertamanya dalam temasya sukan paling berprestij, Olimpik bermula Ahad ini. Ramai yang meramalkan acara skateboarding di Olimpik adalah hanya sekadar one-off, kerana menganggap ia permainan budak-budak dan tidak berprestasi tinggi.

Ramalan itu ternyata meleset kerana pada Disember 2020, papan selaju turut diluluskan untuk dipertandingkan di Olimpik Paris 2024.

Saingan Street Lelaki dan Wanita akan berlangsung pada 25 dan 26 Julai, manakala Park pada 4-5 Ogos.

Berikut senarai atlet yang layak dalam acara papan selaju di Olimpik Tokyo 2020, mengikut ranking dunia WorldSkate.

Park Lelaki
Heimana Reynolds (USA)
Cory Juneau (USA)
Luiz Francisco (BRA)
Pedro Barros (BRA)
Zion Wright (USA)
Keegan Palmer (AUS)
Oskar Rozenberg (SWE)
Pedro Quintas (BRA)
Ivan Federico (ITA)
Steven Pineiro (PUR)
Alessandro Mazzara (ITA)
Vincent Matheron (FRA)
Jaime Mateu (ESP)
Kieran Woolley (AUS)
Ayumu Hirano (JPN)
Tyler Edtmayer (GER)
Danny Leon (ESP)
Andy Anderson (CAN)
Rune Glifberg (DEN)
Dallas Oberholtzer (RSA)

Street Lelaki
Nyjah Huston (USA)
Yuto Horigome (JPN)
Sora Shirai (JPN)
Kelvin Hoefler (BRA)
Gustavo Ribeiro (POR)
Aurelien Giraud (FRA)
Jake Illardi (USA)
Jagger Eaton (USA)
Vincent Milou (FRA)
Matt Berger (CAN)
Manny Santiago (PUR)
Shane O’Neill (Australia)
Angelo Caro Narvaez (PER)
Felipe Gustavo (BRA)
Yukito Aoki (JPN)
Giovanni Vianna (BRA)
Micky Papa (CAN)
Axel Cruysberghs (BEL)
Luis Jhancarlos Gonzales (COL)
Brandon Valjalo (RSA)

Park Wanita
Misugu Okamoto (JPN)
Sakura Yosozumi (JPN)
Sky Brown (GBR)
Poppy Starr Olsen (AUS)
Lizzie Armanto (FIN)
Kokona Hiraki (USA)
Bryce Wettstein (USA)
Dora Varella (BRA)
Isadora Rodrigues Pacheco (BRA)
Brighton Zeuner (USA)
Jordyn Barratt (USA)
Yndiara Asp (BRA)
Julia Benedetti (ESP)
Lilly Stoephasius (GER)
Xin Zhang (CHN)
Madeleine Larcheron (FRA)
Amelia Brodka (POL)
Josefina Tapia Varas (CHI)
Bombette Martin (GBR)
Melissa Williams (RSA)

Street Wanita
Pamela Rosa (BRA)
Rayssa Leal (BRA)
Aori Nishimura (JPN)
Leticia Bufoni (BRA)
Momiji Nishiya (JPN)
Mariah Duran (USA)
Roos Zwetsloot (NED)
Candy Jacobs (NED)
Hayley Wilson (AUS)
Funa Nakayama (JPN)
Alexis Sablone (USA)
Keet Oldenbeuving (NED)
Alana Smith (USA)
Wenhui Zeng (CHN)
Lore Bruggeman (BEL)
Julia Brueckler (AUT)
Charlotte Hym (FRA)
Asia Lanzi (ITA)
Boipelo Awuah (RSA)





 

 



* Ian Johan Ariff adalah Penerbit dan Penyampai di Astro AWANI.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.