Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dalam memerangi rasuah bola sepak.

Katanya pengurus, jurulatih dan pemain perlu memainkan peranan secara profesional bagi mengelak perlawanan bola sepak dicemari dengan gejala rasuah serta pembelian perlawanan.

"Saya dah bincang bersama FAM dan persatuan bola sepak negeri untuk bertindak secara profesional jika ada aduan yang dibuat berserta bukti.

"Saya ada laporan (tentang) pengurus, jurulatih dan pemain dihubungi pihak bookie pada musim lepas.

"Jadi, saya tak mahu perkara tersebut berlaku musim ini dan PDRM tidak akan berkompromi jika perbuatan menjual permainan berulang," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pasukan Bola Sepak PDRM di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut merasmikan jersi baharu skuad The Cops.

Turut hadir, Presiden Bola Sepak PDRM yang juga Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim; Pengurus Pasukan Bola Sepak PDRM, Mubin Mokhtar dan jurulatih Pasukan Bola Sepak PDRM, Mohd Fauzi Pilus.