CHELSEA pada Rabu mengumumkan bahawa Thomas Tuchel bukan lagi pengurus kelab itu berkuat kuasa serta-merta.

Pengendali berusia 49 tahun itu dipecat oleh pemilik baru Chelsea hanya tiga bulan selepas kelab itu diambil alih.

Ia dilihat sebagai kesan daripada permulaan hambar Chelsea sepanjang musim ini, dengan yang terbaru tewas 0-1 kepada Dinamo Zagreb dalam aski pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu.

Chelsea, dalam laman web rasmi mereka pada Rabu berkata: "Bagi pihak semua yang berada di Chelsea, kelab ini mahu merakamkan penghargaan buat Thomas dan stafnya atas segala usaha sepanjang bersama kelab ini.

"Thomas selayaknya berada dalam lipatan sejarah Chelsea selepas memenangi UCL, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab sepanjang tempohnya di sini.

"Dengan pemilikan baru telah mencapai 100 hari sejak mengambil alih kelab ini dan seperti mana mereka sedang berusaha keras untuk membawa kelab ini ke depan, pemilik baru percaya ini adalah masanya untuk melakukan peralihan ini.

"Barisan kejurulatihan Chelsea akan menguruskan sesi latihan pasukan dan bersiap sedia bagi perlawanan yang akan datang sementara kelab ini melantik seorang ketua jurulatih baru.

"Akan tiada sebarang komen lanjut sehingga seorang ketua jurulatih baru dilantik."


[TERKINI] Chelsea pecat Thomas Tuchel