CHELSEA mengumumkan bahawa Pedro Neto akan menggunakan jersi nombor 7 bagi saingan musim ini.

Ia secara tidak langsung menyaksikan Raheem Sterling, yang merupakan pemilik asal jersi berkenaan, akan 'angkat kaki' daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain sayap berusia 29 tahun itu tidak lagi berada dalam perancangan pasukan berkenaan dan telah memaklumkan keinginannya untuk ke kelab lain sebelum tarikh akhir jendela perpindahan minggu depan.

Pedro Neto sebelum ini menggunakan jersi nombor 19 ketika diperkenalkan sebagai pemain Chelsea dan ketika diturunkan sebagai pemain gantian sewaktu Chelsea tewas 0-2 kepada Manchester City dalam aksi pembukaan EPL minggu lalu.

Bagaimanapun, dia kini akan menyarung jersi nombor 7 sepanjang musim ini.

Dalam pada itu, Chelsea turut memaklumkan bahawa seorang lagi pemain baru, Joao Felix, akan menggunakan jersi nombor 14, yang sebelum ini disarung Trevoh Chalobah.