Ini kerana, penyanyi tersohor negara itu membayangkan barangkali beliau menjadi mangsa ‘scam.’
Namun, apabila dimaklumkan oleh pengurusan syarikat rakaman Universal Music (Malaysia) berhubung berita itu, beliau menarik nafas lega dan bersyukur.
Masakan tidak, bagi seorang penyanyi sepertinya mendapat khabar semanis itu tentu sekali mempunyai makna yang cukup besar.
"Saya gembira dan bersyukur apabila diberitahu lagu Anta Permana berkenaan menjadi antara lagu pilihan Raja Charles III. Alhamdulillah, ada juga satu lagu dari Malaysia.
"Tapi, ketika berita itu dimaklumkan kepada saya Selasa lalu, mulanya bimbang juga nak percaya sebab terfiikir kena 'scam' ke ni?” itu reaksi Siti Nurhaliza menjawab soalan wartawan semasa ditemui selepas majlis pelancaran lagu raya terbaharunya, Raya Nak Ke Mana? di Pavilion Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.
Lagu Anta Permana yang diciptakan oleh Hael Hussaini dan Ezra Kong merupakan antara lagu yang menjadi pilihan Raja Charles III sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel yang dikumpulkan oleh platform Apple Music sebagai 'His Majesty King Charles III's Playlist'.
Selain nama Siti Nurhaliza, lagu penyanyi antarabangsa lain yang turut berada dalam senarai Raja England itu ialah Diana Ross, Bob Marley, Reye, Grace Jones dan beberapa lagi.
Berhubung pemilihan Anta Permana, kata buah hati kesayangan negara itu, lenggok muzik Malaysia memiliki keunikan tersendiri dan sedap didengar.
Bahkan, Siti Nurhaliza sentiasa optimis muzik Malaysia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, walaupun masih kurang mendapat pendedahan di peringkat global.
Dalam konteks ini, jelas beliau, setiap kali lagu dan nyanyian Malaysia dipertandingkan di luar negara, ia sering mendapat perhatian dan berjaya meraih kejayaan.
Sehubungan itu, Siti Nurhaliza berterima kasih di atas penghargaan diraih itu kerana menyifatkan ia antara pencapaian terbaik dan bermakna dalam kerjaya seninya.
