TERKHILAF mempromosi produk berasas nikotin di sosial media miliknya, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tampil mengakui kesilapan dan membuat permohonan maaf.

Jelas Siti Nurhaliza, 46, beliau sedar kesilapan itu berpunca daripada dirinya yang tidak menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk tersebut.

“Maaf di atas khilaf saya mengenai produk yang saya masukkan di hantaran Instagram saya sebelum ini.
“Saya sedar ini adalah khilaf saya tanpa menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk tersebut,” katanya.


Ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran di platform sama.

Dalam masa sama, pelatun lagu Sejarah itu turut berterima kasih di atas teguran dan sudah memadam hantaran tersebut.

“Terima kasih di atas teguran, pemberitahuan dan juga memaklumkan hal ini kepada saya.

“Saya sudah memadamkan posting tersebut dan terima kasih sekali lagi di atas teguran yang diberikan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Siti Nurhaliza memuat naik sebuah hantaran mempromosikan produk nikotin tetapi telah menerima teguran daripada banyak pihak. -- Sinar Harian