Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang diiktiraf sebagai Biduanita Negara pada Anugerah Seni Negara 2024.
- Siti Nurhaliza telah memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara serta merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album.
- Penyanyi itu juga telah mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut.
Menerusi hantaran di platform X hari ini Fahmi berkata Kementerian Komunikasi amat berbangga dengan pencapaian penyanyi itu yang cemerlang dan bergemerlapan dalam bidang seni suara.
"Tahniah Biduanita Siti Nurhaliza! Semoga dengan pengiktirafan ini, beliau akan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
Siti Nurhaliza, 45, yang mula menceburi industri seni pada 1995 menjadi wanita ketiga diberi penghormatan tersebut.
Sepanjang penglibatannya, beliau memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat) selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.
Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut selain pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005.
-- BERNAMA