PETALING JAYA: Bertemakan ‘Meriah lain macam’ pada raya tahun ini, Astro bakal menghimpunkan lebih daripada 160 kandungan raya yang telah dirancang khas untuk seisi keluarga.

Semua rancangan ini boleh dinikmati tanpa henti secara on-the-go bermula malam raya di Astro dari kandungan televisyen sehingga ke platform digital dan radio.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, Astro bakal membawakan pelbagai kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi menyatukan semua orang.

“Raya kali ini lebih istimewa dengan penceritaan yang dekat di hati, memenuhi citarasa pelbagai generasi. Astro juga meneruskan tradisi iklan raya berkualiti tinggi dengan tema Lain Macamnya Raya  mengetengahkan kemanisan dalam kelainan apabila kita terbuka untuk menerimanya.

“Kami berharap santapan yang kami sajikan sepanjang Syawal ini bukan sahaja menyemarakkan Aidilfitri anda tetapi juga menjadi penghubung dalam menyatukan keluarga dan sahabat handai ,”katanya ketika sidang media Majlis Tayangan Perdana Program Astro 2025, di sini, pada Rabu.

Selain itu, Astro Kasih akan bekerjasama dengan Radio Zayan dalam satu inisiatif istimewa pada 21 Mac ini, di mana sebanyak 1,500 bubur lambuk akan diedarkan kepada warga emas dan komuniti setempat di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan berkongsi rezeki, tetapi juga untuk menyemarakkan kemuliaan bulan Ramadan serta menghargai para penjaga dan penghuni pusat jagaan tersebut. Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Adabi sebagai penaja utama.

Inisiatif ini turut akan dilakukan di Dataran Merdeka pada 22 Mac 2025 ini dengan kerjasama Nu Ideaktiv dan Radio Zayan menerusi kempen RASA Bubur Lambuk Rewang Wira yang akan disertai oleh 50 orang sukarelawan daripada Astro, barisan selebriti dan personaliti radio seperti Faizal Ismail, Nana Mahazan dan Anas Tahir.

Penglibatan Radio Zayan dalam kempen ini termasuk membuat siaran secara langsung di luar konti bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi di lokasi tersebut.