LIVERPOOL 2 CHELSEA 1

Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila jaringan Curtis Jones memastikan kemenangan 2-1 The Reds ke atas Chelsea dalam aksi cukup menghiburkan di Anfield awal pagi tadi.

Selepas dipintas Manchester City, yang menewaskan Wolves dalam perlawanan lebih awal malam tadi, Liverpool memberikan respons dengan memenangi ujian paling besar buat pengurus, Arne Slot, setakat ini.

Jaringan penalti Mohamed Salah pada minit ke-29 memecahkan kebuntuan dalam pertemuan itu selepas Levi Colwill mengasari Jones.

Jones kemudian menyangkakan dia telah memenangi sepakan penalti kedua selepas dijatuhkan Robert Sanchez tetapi selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), John Brooks, yang bertugas mengadili perlawanan itu, mengubah keputusannya.

Satu lagi keputusan VAR kemudian memihak Chelsea untuk menyamakan kedudukan pada tiga minit terakhir babak pertama, di mana Nicolas Jackson, yang awalnya berada di kedudukan ofsaid, dibenarkan jaringannya selepas Ibrahima konate dilihat berada di kedudukan lebih bawah.

Bagaimanapun, Salah dan Jones bergandingan menjaringkan gol kemenangan The Reds yang disudahkan Jones pada minit ke-51.

Dengan kemenangan itu, Liverpool kembali berkelebihan satu mata di atas pencabar terdekat, City, dan empat mata di atas lawan berikutnya, Arsenal.

Chelsea, dalam pada itu, kekal di kedudukan keenam dan dibezakan tiga mata dengan kelompok empat teratas. - Stadium Astro