Wakil New Zealand, Frazer Tavener, muncul pemenang pingat emas manakala Ikuma Senri dari Jepun melengkapkan kedudukan podium dengan memenangi gangsa.
Dalam pada itu, final acara itu dicemari dengan kemalangan yang menimpa seorang lagi penerjun negara, Ooi Tze Liang.
Penerjun berusia 30 tahun itu mengalami pendarahan selepas kepalanya terkena papan anjal sewaktu melakukan terjunan kedua.
Dia dilihat diusung untuk dikejarkan ke hospital berdekatan.
"Saya tidak jangka mata yang saya peroleh meletakkan saya di tempat kedua kerana mata saya memang kurang memuaskan," kata Syafiq kepada Astro Arena.
"Terjunan pertama dan kedua semuanya baik tetapi memasuki terjunan ketiga, ia merupakan pengalaman baru buat saya.
"Saya tidak jangka rakan sepasukan dan senior saya, Ooi Tze Liang, gagal meneruskan terjunannya.
"Apa yang saya persiapkan sebelum ini semuanya hilang," katanya.
Mengulas mengenai kecederaan Tze Liang, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia, Andy Low, berkata: "Ia satu kemalangan yang tidak terduga. Kami tidak tahu keadaan sebenarnya.
"Pasukan medik di sini terus menghantarnya ke hospital terdekat, iaitu Hospital Colombia.
"Kami harap keadaannya tidak begitu tenat dan hanya mengalami sedikit kecederaan.
"Selepas ini, kami akan membantunya. Saya dengar dia memiliki perlindungan insurans, jadi tiada masalah.
"Daripada segi psikologi dan semangatnya, kita perlu merujuk kepada pakar untuk membantunya."
Sementara itu, dalam acara 10m platform wanita, Datuk Pandelela Rinong tidak berdepan masalah untuk meneruskan dominasinya dengan pingat emas.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com