PENERJUN negara, Bertrand Rhodict Lises, terlepas peluang ke separuh akhir acara 10 meter platform lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menamatkan saingan di tempat ke-25.

Penampilan sulung Sukan Olimpik buat Bertrand Rhodict bermula secara rasminya sebaik dia memulakan aksi menerusi terjunan pertama untuk merekodkan 66 mata dan mengisi kedudukan 17 penerjun terbaik.

Penambahan darjah kesukaran di terjunan kedua menyaksikan anak jati Sarawak itu berjaya menamatkan pusingan itu dengan memperbaiki kedudukan kepada 16 penerjun terbaik.

Dua terjunan berikutnya menjadi momen penting untuk Bertrand ketika pesaing lain mempertingkatkan strategi masing-masing dalam mencari lebih banyak tambahan mata.

Terjunan keempat, meletakkan Bertrand dalam situasi sukar selepas darjah kesukaran 3.4 hanya menzahirkan 34 mata, kutipan terendahnya pada penyertaan kali ini.

Manakala darjah kesukaran tertingginya 3.6 pada terjunan kelima pula sekadar menawarkan tambahan 37.80 mata untuk dia kekal di kedudukan ke-25.

Bertrand kembali melakukan terjunan dalam percubaan terakhir namun perjalanan sudah berakhir apabila terlepas kedudukan 18 terbaik untuk meneruskan cabaran ke separuh akhir. -- Stadium Astro