PHNOM PENH: Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara memulakan misi mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2019 dengan bergaya selepas membelasah lawan masing-masing pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Seperti dijangka, kedua-dua skuad lelaki dan wanita kebangsaan ternyata bukan tandingan buat pencabar mereka hari ini apabila masing-masing berpesta gol dengan membenam tuan rumah, 10-1 serta Singapura, 8-0, dalam saingan pembukaan berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, di sini.

Pasukan lelaki yang dibimbing Mohd Hanip Che Halim hanya memerlukan masa seminit untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang Faridzul Afiq Mohd menolak masuk pukulan sudut penalti disusuli gol kedua oleh penyerang Abdul Khaliq Hamirin menerusi jaringan padang selang empat minit kemudian.

Kemboja yang rata-ratanya dibarisi pemain kelahiran Pakistan terus diasak Malaysia dan hasilnya pasukan negara berjaya menambah derita tuan rumah menerusi jaringan padang oleh penyerang Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit kelapan diikuti dua jaringan pukulan sudut penalti dalam masa seminit pada minit ke-22 menerusi Muhamad Izham Azhar dan Muhammad Firdaus Omar.

Seminit kemudian, Faridzul menggandakan jaringan peribadi menerusi gol padang disusuli jaringan kelima oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan sebelum Kemboja menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-28 oleh jaringan padang Ammar Rana.

Faridzul kemudian melengkapkan hatrik menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 manakala Abdul Khaliq mencetak gol padang keduanya pada minit ke-33 dan jaringan padang pemain tengah Mohd Norhafizie Jamil Azom melengkapkan kemenangan besar Malaysia di penghujung perlawanan.

Bercakap kepada Bernama selepas perlawanan, ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Hanip berkata pencapaian mengutip tiga mata adalah jauh lebih penting berbanding kejayaan merobek gawang Kemboja dengan jurang yang besar.

Bagaimanapun, beliau mengakui kurang berpuas hati dengan kegagalan skuad negara mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi dan berharap dapat memperkukuh lagi benteng pertahanan negara pada aksi seterusnya.

Dalam pada itu, penyerang Nuraslinda Said mencuri tumpuan apabila menyumbat empat gol termasuk tiga jaringan pukulan sudut penalti pada minit kelapan, ke-11 dan ke-18 selain jaringan padang seminit kemudian ketika membantu skuad wanita negara menumpaskan pasukan jiran, Singapura, 8-0.

Pemain tengah Raja Norsharina Raja Shahbuddin meletakkan Malaysia di depan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang manakala tonggak pertahanan Fazilla Sylvester Sillin menyempurnakan dua jaringan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan ke-34 selain jaringan penalti strok oleh penyerang Iren Hussin pada minit ke-26.

Ketua jurulatih Mohd Badrul Hisham Osman berkata Malaysia berpeluang menjaringkan lebih 10 gol, namun ketumpulan penyudah di depan pintu gol Singapura menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan lapan gol sahaja.

Kedua-dua skuad lelaki dan wanita akan meneruskan cabaran mereka dalam perlawanan kedua menentang Filipina esok.

-- BERNAMA