Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sebalik perubahan persekitaran global, pelbagai pakatan multilateral baharu mungkin muncul yang akan mencabar konsep “ASEAN Centrality” atau keutamaan ASEAN sebagai platform tunggal untuk berdialog, membuat keputusan dan mencorak hala tuju rantau ini.
“Satu soalan yang sering ditanya adalah berkaitan Presiden Amerika Syarikat yang baharu, dan bagaimana ini akan mencorak dinamik rantau ini bergerak ke hadapan.
“Rantau kita telah menjadi tapak persaingan kuasa besar,” kata Mohamad.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) 2025, di sini, hari ini.
Katanya, ini membuktikan ASEAN adalah satu blok yang penting ekoran kedudukan geografinya yang strategik dan kuasa ekonomi kolektif yang besar.
“Ini jelas dilihat. Jadi kami harap pemimpin negara-negara rakan dialog (ASEAN) akan mengambil perhatian tentang peranan kami yang semakin penting, dan berurusan dengan kami secara diplomatik dan dengan fikiran yang terbuka.
“Kita perlu mencorak hala tuju sendiri,” katanya.
Kata Mohamad, ASEAN mesti bersatu menolak segala anasir luar yang berupaya mengganggu gugat identiti dan kesepaduan pertubuhan itu yang sudah terdiri selama hampir enam dekad.
“Kekuatan ASEAN ialah kita mempunyai model yang berbeza; yang mengutamakan pembuatan keputusan secara kolektif, tanpa mengira perbezaan pentadbiran setiap negara, yang mana pengaruh tidak hanya diukur dengan kekuatan ketenteraan atau kuasa ekonomi, tetapi dengan keupayaan untuk memupuk dialog, menggalakkan kerjasama, dan membina kepercayaan, demi keamanan dan keselamatan global,” jelas Mohamad lagi.
Sesi Pemukiman AMM 2025 selama dua hari yang berakhir hari ini menyaksikan penyertaan Menteri Luar dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, serta Timor Leste selaku negara pemerhati.
Ia merupakan mesyuarat berjadual pertama di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.