PHNOM PENH: Sukan larian berhalangan menjadi penyumbang pingat pertama negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Atlet wanita, Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli menyumbang pingat pertama negara dan berkongsi kedudukan acara individu wanita bersama Anggun Yolanda Samsul Hadi biarpun tewas kepada peserta Indonesia, dalam penentuan pingat gangsa.

Wan Athirah Hidayah mencatat masa 41.724 saat (s) di belakang Anggun yang merekodkan masa 39.598s.

Meskipun berkongsi pingat gangsa, wakil acara lelaki individu pula, Yoong Wei Theng tetap memenangi saingan itu dengan menewaskan peserta tuan rumah, Ol Saoheang.

Wei Theng yang melengkapkan setiap halangan dengan sempurna bagi larian sejauh 100 meter itu merekodkan masa 28.234s dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Wakil Filipina, Mark Julius Malabriga Rodelas muncul juara dengan merekodkan 25.194s menewaskan rakan sepasukannya, Kevin Jeffrey Dador Pascua (26.814s).


Sementara itu, Wei Theng mengakui terkejut dengan insiden apabila Saoheang terjatuh pada halangan kedua pada acara hari ini.

"Ketika dia jatuh, saya terkejut tetapi saya teruskan untuk menamatkan perlumbaan tanpa terganggu dan hilang fokus," katanya.

Dalam pada itu, Wan Athirah Hidayah mengakui kesilapan ketika bergayut pada 70 meter (m) terakhir memberikan kelebihan buat lawannya memintasnya.

Bagaimanapun, beliau berharap dapat memperbaiki prestasi dan kembali lebih kuat untuk beraksi dalam saingan berpasukan menentang Kemboja esok.

-- BERNAMA