Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bagi pihak Kerajaan Malaysia bersetuju agar Sarawak menjadi penganjur bersama bagi Sukan SEA 2027.
Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibentang dan disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.
“Anak-anak telah catat rekod baru, pecah rekod kebangsaan. 21 rekod SUKMA telah dipecahkan, luar biasa semangat. Oleh kerana ini, dan dengan keupayaan Sarawak menganjur sukan di antara terbaik yang pernah kita adakan, saya bagi pihak kerajaan Malaysia bersetuju untuk Sarawak bersama dengan kerajaan Malaysia, menganjurkan Sukan SEA 2027."
“… ada keupayaan, prasarana baik, dan pasukan baik, Menteri (Belia dan Sukan) Hannah Yeoh dan di negeri (Sarawak), Datuk Karim Hamzah dengan seluruh pasukan yang menunjukkan kesungguhan komitmen luar biasa, apalah susahnya untuk Sea Games, anda mampu laksanakan dengan baik Insya-Allah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak, pada Sabtu.
Dalam edisi tersebut, tuan rumah Sarawak, mengesahkan gelaran juara keseluruhan hari ini dengan kelebihan sebutir emas mengatasi Wilayah Persekutuan, selepas mengharungi perebutan paling sengit dalam sejarah temasya dwitahunan kebangsaan itu.
Pada majlis sama, perenang Selangor Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKMA 2024.
Dalam pada itu Perdana Menteri menyeru agar persiapan Sukan SEA 2027 dilakukan dengan segera di peringkat persekutuan dan negeri, dan persatuan-persatuan sukan juga harus lebih fokus dalam meningkatkan mutu prestasi atlet masing-masing.
"Persatuan sukan patut digerakkan untuk tumpu meningkatkan mutu dan prestasi para atlet, olahragawan dan tidak diheret dalam masalah titik bengik lain.
“Kadang-kadang berita persatuan sukan juga membimbang dan menggusarkan. Oleh itu saya gesa kerana kita telah bersetuju untuk anjurkan peringkat antarabangsa, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching ini, maka persiapan harus dimulakan mulai sekarang," katanya lagi.