KUCHING: Sarawak sedang menunggu keputusan serta kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung kesediaannya menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata menerusi perbincangan bersama KBS, sebanyak 18 acara Sukan SEA berpotensi dijalankan di Bumi Kenyalang.

"Ada 18 acara yang akan dipertandingkan di Sarawak dan kita telah disuruh untuk memilih. Inilah situasinya apabila kedudukan kewangan kuat. Kami menawarkan untuk menjadi penganjur bersama dan Kuala Lumpur atau KBS memaklumkan 18 acara boleh dipertandingkan di Sarawak.

"Wushu adalah satu daripada sukan yang akan kita mohon untuk dipertandingkan di Sarawak (bagi Sukan SEA) di tempat ini, kemudahannya perlu ditingkatkan lagi seperti kemudahan penyaman udara," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Pusat Latihan Wushu terletak berdekatan Stadium Sarawak, pada Ahad.

Bagaimanapun, Abdul Karim Rahman tidak dapat mendedahkan senarai 18 acara sukan yang berpotensi dipertandingkan di sana memandangkan ia masih di peringkat cadangan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah menyatakan kesediaannya untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 yang akan memberi impak positif kepada pembangunan sukan negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata pasukan wushu Bumi Kenyalang mampu menjadi penyumbang pingat emas terbesar Sarawak di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

"Kita mempunyai atlet yang sudah sampai ke peringkat antarabangsa dan tempat. Kita boleh menganjurkan pertandingan kebangsaan serta antarabangsa.

"Saya berharap dengan dewan baharu ini dapat memberikan atlet negeri inspirasi dan dengan penyokong Sarawak akan datang nanti, mereka (atlet) dapat menunjukkan kebolehan dan pertunjukan terbaik," katanya.

Sempena SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA