IPOH: Anggota polis yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi berhampiran tali air pintu gerbang Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam ditemukan meninggal dunia.

Mayat Koperal Muhammad Taufik Sayuti, 39, ditemui pada jam 4.55 pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota menjumpai mayat mangsa di sekitar kawasan tebing pada jarak 3 meter dari Pusat Kawalan Bomba.

"Mangsa telah dibawa naik menggunakan bucket stretcher, tali webbing dan tali menyelamat.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Media melaporkan, semasa kejadian mangsa yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah melakukan aktiviti mandi bersama rakan-rakannya.

Mangsa dikatakan keletihan dan cuba berenang ke tebing, namun arus deras menghanyutkannya.

Difahamkan mangsa baru sahaja selesai menghadiri majlis reunion sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat Lada. - Sinar Harian