PHNOM PENH: Atlet maraton lelaki negara, Tan Huong Leong terlepas peluang meraih gangsa selepas mendapat tempat keempat dalam saingan akhir pada Sukan SEA 2023, hari ini.

Saingan berlangsung di Angkor Wat, Siem Reap, hampir enam jam perjalanan dari sini, menyaksikan Huong Leong menamatkan larian dengan catatan dua jam dan 40:26 saat (s).

Agus Prayogo dari Indonesia merangkul emas dengan merekodkan 2:32:59s diikuti wakil Filipina, Arlan Estobo Arbois (2:33:27s) yang memenangi perak.

Nguyen Thanh Hoang pula melengkapkan kedudukan podium dengan menyumbang pingat gangsa untuk Vietnam menerusi catatan 2:35:49s.

-- BERNAMA