HANOI: Skuad muda negara gagal menyaingi kehebatan Thailand apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara berpasukan lelaki Sukan SEA ke-31 di Gimnasium Bac Giang di Wilayah Bac Giang, kira-kira 140 km dari sini, hari ini.

Selepas cemerlang menundukkan pasukan pilihan Singapura di peringkat separuh akhir semalam, barisan pemain pelapis negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas 0-3 kepada Thailand.

Turun sebagai perseorangan pertama, Jacky Kok Jing Hong tewas mudah 10-21, 15-21 kepada Kunlavut Vitidsarn.

Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga terpaksa akur untuk menyamakan kedudukan walaupun memberi tentangan sengit kepada gandingan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Nanthakarn Yordphaisong sebelum tumpas 20-22, 20-22.

Ketinggalan 0-2, Lee Shun Yang yang beraksi sebagai perseorangan kedua mempamerkan permainan kemas pada set pertama apabila mencatat kemenangan 21-16 ke atas Khosit Phetpradab.

Namun, pada set kedua dan penentuan Shun Yang gagal menampilkan prestasi konsisten apabila kalah 13-21 dan 19-21, sekali gus Malaysia terus kempunan pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

Pencapaian pingat perak itu menyamai keputusan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Indonesia dan Singapura berkongsi pingat gangsa selepas kedua-dua pasukan berkenaan tumpas di peringkat separuh akhir, semalam.

Sementara itu, Thailand turut unggul dalam acara berpasukan wanita selepas menewaskan Indonesia 3-0.

Pingat gangsa dimenangi tuan rumah, Vietnam dan Singapura.

-- BERNAMA