Menurut pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, pelaksanaan PBD dan PBS ketika ini dilihat kurang berkesan sehingga menyebabkan ramai pihak mahu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan segera.
Katanya, terdapat tiga syarat untuk memastikan PBD dilaksanakan dengan berkesan dan sekiranya syarat itu tidak dipatuhi PBD akan dilihat gagal dan kurang berkesan serta menimbulkan kekeliruan.
"Melalui PBD guru perlu mengajar dan menilai setiap murid dengan tempoh masa yang terhad, jika di negara mahu mereka melaksanakan PBD dengan jumlah murid dalam kelas yang kurang dari 25 orang.
"Jadi guru mempunyai masa yang cukup untuk menilai murid berdasarkan PBD, namun di negara kita satu bilik darjah ada yang menempatkan sehingga 40 ke 45 orang. Bagaimana seorang guru boleh mengajar dan menilai murid yang terlalu ramai membuatkan PBD tidak berkesan," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, syarat kedua untuk mencapai keberkesanan PBD yang tinggi adalah mempunyai silibus yang fleksibel.
"Negara luar yang melaksanakan PBD mempunyai silibus yang sangat fleksibel jadi guru akan merancang pembelajaran dan pengajaran berdasarkan keperluan murid dan guru boleh merancang dengan baik kerana kerja mereka tidak banyak.
"Namun, di negara kita silibus terlalu padat disebabkan kita masih melaksanakan kurikulum berasaskan peperiksaan walaupun setelah kita melaksanakan PBD sepenuhnya.
"Silibus untuk peperiksaan memang padat dan berat untuk pastikan murid boleh menjawab soalan peperiksaan namun untuk PBD silibusnya tidak banyak dan berat kerana asasnya adalah aktiviti belajar yang dirancang guru dalam kelas. Kita angkat agenda PBD tapi kita tidak perbetulkan silibus," ujarnya.
Syarat ketiga yang digariskan Anuar pula merangkumi autonomi kepada guru yang menjadi kontroversi dalam PBD.
"Guru terdiri daripada mereka yang pakar dalam subjek masing-masing dan hanya guru tahu apa yang berlaku dalam kelas daripada segi kemajuan murid dalam pembelajaran.
"Jadi bila guru berikan gred kepada pelajar, ia harus diterima oleh pihak yang berada di luar dari bilik darjah seperti guru besar, Jabatan Pendidikan malah ibu bapa.
"Jjadi apabila guru tidak mempunyai autonomi, pelaksanaan PBD terganggu kerana ia tidak dilihat sebagai pentaksiran yang telus dan boleh diterima," katanya.
Justeru, Anuar berkata, sekiranya UPSR dan PT3 mahu dikembalikan, ia harus ditambah baik bagi memastikan kualiti dan mengikut sistem pendidikan terkini.
"Bukan bermaksud PBD tidak bagus, ia telah terbukti berkesan sekiranya kita menepati syarat-syarat yang saya nyatakan itu," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).
Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun sama.
Media pada 28 April 2021 melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin ketika itu berkata, keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 akibat COVID-19.