Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Riza Makar, 39 tahun, yang juga suami kepada tiga orang isteri dan 10 orang anak, didakwa mengeluarkan ugutan berbunyi: “Kita tunggu, kita tahu dekat mana rumah, suami, dan keluarga” terhadap wanita berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Osman berhujah bahawa perbuatan tersebut dilihat sebagai ada pihak yang menganggap undang-undang boleh diperkotak-katikkan dan ugutan tertuduh memberi anggapan dia boleh selesaikan isu berkaitan dengan mudah.
"Berdasarkan kertas pertuduhan, ia jelas menunjukkan OKT (Orang Kena Tuduh) tidak menghormat undang-undang yang digubal bagi menjaga kepentingan, bukan saja kepentingan individu, tetapi masyarakat awam yang taat kepada undang-undang.
“Ugutan yang dibuat terhadap pengadu setelah pengadu membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan, dan mendapat liputan media, wajar mengimbangi jaminan yang dikemukakan untuk kes ini,” katanya di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Mohd Sabri berkata, pihak pendakwaan memohon agar nilai ikat jamin terhadap tertuduh ditetapkan pada kadar RM30,000 dengan dua penjamin tempatan, dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa, perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Bagaimanapun Mohamad Riza, yang diwakili peguam bela Zulfikri Ulul Azmi memohon belas kasihan mahkamah kerana dia yang berpendapatan sekitar RM4,000 sebulan perlu menanggung keluarga yang besar.
“Saya memohon untuk dikurangkan jaminan kerana isteri saya baru saja melahirkan anak (ke-10), tak sampai lagi sebulan, pendaftaran kelahiran pun belum lagi saya buat.
“Memandangkan ketika ini waktu cuti sekolah, saya kena berhadapan dengan 10 orang anak, saya kena sediakan duit atau dana untuk buat aktiviti dan persiapan persekolahan yang akan datang.
"Jadi, saya mohon merayu untuk diringankan,” katanya lagi.
Sementara it,u Zulfikri berhujah bahawa kes anak guamnya adalah ‘kes ringan’ dan ugutan yang dikeluarkan bukan berupa ugutan untuk membunuh atau mencederakan pengadu dan sebagainya.
“Saya ingin tegaskan, kes ini adalah kes yang ringan dan bukan kes berat, dan ugutan dikemukakan bukan ugutan untuk bunuh atau cederakan pihak pengadu dan sebagainya.
“Ini juga satu tindakan yang tidak wajar untuk dikenakan sehingga RM30,000 dengan dua penjamin, sebab ini kes ringan, dan ugutan itu satu ugutan yang hanya berbentuk ringan.
"Saya nyatakan, jumlah yang dipinta pihak pendakwaan itu sebanyak RM30,0000 satu jumlah amat tinggi di luar kemampuan OKT untuk membayarnya,” katanya lagi.
Selain itu beliau berhujah bahawa kes anak guamnya tidak ada kena mengena dengan kes melibatkan GISBH, dan hubungan di antara dua pihak tersebut hanyalah anak guamnya menjalinkan usahasama dengan GISBH atas nama perniagaan pencetakan.
Bagaimanapun ia disanggah oleh pihak pendakwaan, yang mengatakan dalam rakaman percakapan sebelum ini, Mohamad Riza jelas menyatakan dia adalah ‘ahli’ kepada GISBH.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret memutuskan agar ikat jamin Mohamad Riza ditetapkan pada kadar RM10,000 dengan seorang penjamin, selain membenarkan syarat tambahan yang dipinta pihak pendakwaan.
Sebutan kes ditetapkan pada 18 Oktober depan.