KUALA LUMPUR: "Jika mahu anak menyertai sesuatu (khususnya sukan), lakukan tanpa sebarang jangkaan kerana menekan mereka untuk mencapai sesuatu boleh menimbulkan masalah," nasihat bapa legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David, Desmond David kepada ibu bapa yang sedang mempertimbangkan untuk mengizinkan anak mereka menceburi sukan sebagai kerjaya.

Desmond, 77, berkongsi bahawa beliau dan isteri, Ann Marie David, tidak pernah menekan Nicol untuk menyertai sukan secara serius atau untuk menjadi juara, sebaliknya mereka memberi Nicol kebebasan untuk mengikut minatnya di samping sentiasa mengingatkan bahawa tiada siapa yang boleh melangkaui prestasi terbaik mereka.

Mengimbau penglibatan Nicol dalam sukan, beliau berkata Nicol seorang kanak-kanak yang sangat aktif dan secara sukarela mahu mengikut kakaknya berlatih skuasy pada usia empat tahun di sebuah pusat skuasy di Pulau Pinang.

Desmond berkata dari situ, minat Nicol terhadap sukan itu berputik dan dia memulakan latihan ketat, merangkumi lima dan setengah hari seminggu selama empat hingga enam jam sehari, yang diteruskannya selama 20 tahun, dan jurulatihnya turut mengakui bahawa Nicol tidak pernah ketinggalan sesi latihan.

"Beliau sudahpun berumur lebih kurang 19 ke 20 tahun semasa beliau ke Amsterdam untuk mengembangkan kerjaya dalam skuasy dan selalunya, pada umur itu, kebanyakan orang akan meninggalkan latihan, sama ada untuk melanjutkan pelajaran atau melakukan perkara lain.

"Ramai kata kepada kami, kenapa biarkan Nicol pergi? Termasuklah ahli keluarga. Dan skuasy ketika itu sangat baharu. Apa jadi kalau tercedera?" katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ann Marie berkata mengizinkan anak ke Amsterdam merupakan keputusan terbaik yang dilakukannya, mengetahui bahawa sukan 'tidak menunggu' kerana untuk mengekalkan momentum memerlukan permainan berterusan.

"Dia (Nicol) sangat tekad, dan semuanya berjalan lancar dengan berkat tuhan dan dia memanfaatkannya sebaiknya. Dia sangat bersemangat," katanya.

Atlet dari Pulau Pinang itu yang bersara pada Jun 2019 memegang rekod sebagai pemain wanita yang memegang gelaran pemain nombor satu dunia paling lama iaitu selama 112 bulan sejak 2006. Nicol juga merupakan juara dunia lapan kali.

Sementara itu, Nicol berkata penyertaan dalam sukan bukan sahaja membina keyakinan tetapi juga membantu remaja perempuan memahami nilai diri mereka.

"Mereka memerlukan ruang untuk membina keyakinan dalam diri. Tidak kira sama ada mereka atlet atau tidak, sukan boleh membantu mereka untuk menjadi lebih hebat dalam bidang masing-masing" katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai remaja perempuan melibatkan diri dalam sukan dan mencuba sukan yang lebih mencabar.

"Kita perlu memberikan galakan kepada mereka untuk mencuba sukan yang lebih mencabar. Sesetengah sukan ada stigma tertentu, jadi penting untuk menyediakan persekitaran yang selesa buat mereka," katanya sambil menambah ibu bada patut memberikan sokongan kepada anak gadis mereka untuk menceburi bidang sukan.

-- BERNAMA