Pada harga bermula serendah RM49.99, Entertainment Pack, Sports Pack dan Epic Pack menawarkan hiburan yang lebih fleksibel dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, Astro One menggabungkan saluran televisyen terbaik, aplikasi penstriman popular dan pilihan jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Kami menyatukan semua kandungan hiburan dalam satu pakej teras yang dinamakan Entertainment Pack pada harga RM49.99, anda dapat hampir semua kandungan hiburan yang kami tawarkan, Gegar Vaganza, Attam serta program antarabangsa.
“Keputusan kedua yang perlu dibuat adalah sama ada anda peminat sukan. Jika ya, tambahkan Sports Pack pada harga RM99.99, Liga Perdana Inggeris, Kejohanan BWF, Liga Malaysia, Formula 1 dan pelbagai lagi.
"Tidak kurang pentingnya adalah Epic Pack pada harga RM199.99 yang menyatukan semua aplikasi penstriman pihak ketiga dan semua kandungan hiburan lain yang anda boleh pilih,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Astro One, di sini, pada Isnin.
Euan menambah, Epic Pack direka untuk peminat filem dengan akses ke Netflix, Disney+ Hotstar, BBC player, Iqiyi serta semua kandungan dalam dua pakej lain yang pastinya berbaloi.
Setiap pakej boleh disesuaikan dengan tambahan mudah seperti lebih 11 aplikasi penstriman popular, pakej kandungan khas dan perkhidmatan tambahan termasuk Go+, Multiroom serta jalur lebar dari 100 Mbps hingga 800 Mbps.
Pelanggan boleh mengubah langganan mereka melalui aplikasi My Astro dan menikmati penstriman tanpa had dengan ultra dan ulti box selain menikmati penstriman sehingga empat peranti serentak di aplikasi Astro Go.
Pelan Astro One ini mempunyai kontrak selama 24 bulan dan mereka yang berminat boleh melayari laman web rasmi Astro atau aplikasi My Astro untuk maklumat lanjut.