Beliau berkata, hal ini dapat dilihat melalui penganjuran Kejohanan Ragbi Piala Rujirawongse antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Royal Thai Police (RTP) yang memasuki edisi ke-35, berlangsung di Stadium Hang Jebat semalam.
"Saya percaya kunjungan RTP ke Melaka melalui pertandingan kali ini, mampu mengeratkan lagi hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand, memandangkan penganjuran kejohanan ragbi tahunan ini sudah melangkaui usia 35 tahun.
"Yang lebih utama,hubungan baik antara kedua-dua agensi penguat kuasa undang-undang Asia Tenggara ini dapat dikekalkan dan berpanjangan," katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Ragbi Piala Rujirawongse antara PDRM dan RTP edisi ke-35.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Delegasi Polis Leftenan Jeneral Kornchai Klayklueng, yang mewakili Ketua Polis Thailand.
Ab Rauf juga berharap kejohanan tersebut menjadi medan pertemuan untuk saling bertukar pandangan serta mencari idea baharu dalam mempersiap dan memperkukuh barisan pertahanan negara masing-masing, demi mengekalkan rantau ini sebagai zon selamat yang seterusnya membawa impak positif kepada kestabilan ekonomi, politik dan sosial.
Dalam perlawanan persahabatan tersebut, pasukan PDRM berjaya menewaskan RTP dalam kedua-dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Terbuka dengan keputusan 32-21 dan Kategori Veteran 26-0.
- BERNAMA